Pages

Wednesday 18 March 2015

Murid Bosan Dengan Cara Guru Mengajar?

Murid Bosan Dengan Cara Guru Mengajar?
1.   Berkenaan dengan murid bosan/ tidak seronok dengan pengajaran guru seharusnya dikupas dengan lebih terperinci lagi. Sebabnya, nilai keseronokan bagi setiap individu tersebut mungkin berbeda. Apatah lagi, jika keseronokkan itu dinilai dengan nilai yang salah. Justeru, pentafsiran tentang makna keseronokan selayaknya kita berikan dengan betul  terlebih dahulu  sebelum kita menyatakan bahawa sesuatu pengajaran itu membosankan. Keseronokan dalam belajar perlu ditafsir sebagai gigih untuk belajar, ketekunan, kesabaran dan pengorbanan dalam belajar.(Prof Wan Nor Wan Daud). Bukan keseronokan seperti bermain semata-mata. Apa yang penting juga, bukan keseronokan sepatutnya diperbesarkan tetapi kegigihan, ketekunan, kesabaran dan pengorbanan dalam belajar. Jika ini tidak ditonjolkan, maka persepsi murid terhadap makna keseronokan juga akan salah yang akan menyebabkan persepsi tersebut di bawa sehingga ke alam pendidikan yang lebih tinggi.

2.  Guru bukanlah manusia yang hanya bertindak sebagai pemudah cara/ fasilitator tetapi guru merupakan insan yang aktif menanamkan adab dalam diri pelajarnya. Di sini, seharusnya guru bukan setakat hanya bertindak untuk mengawal bahan bantu belajar  dan menghubungkan bahan bantu belajar dengan murid tetapi sebagai pembimbing yang menyatukan dan memahamkan murid-murid tentang konsep yang diajar. Jika kita mengatakan guru hanya pemudah cara, sisi makna guru itu sudah hilang sedangkan guru merupakan pendidik jiwa pelajar.

3.  Antara perkara yang perlu diperjelaskan di sini juga ialah sikap ingin merubah dalam waktu yang cepat. Kebanyakkan pada hari ini, sikap cepat menukar kaedah yang digunakan sangat berleluasa sedangkan sesuatu kaedah boleh sahaja mengambil masa yang lama untuk memperlihatkan kesannya. Guru sepatutnya lebih sabar dalam mengajar pelajar dan tidak cepat untuk merubah sesuatu seperti apa yang disarankan di atas iaitu menggunakan teknologi. Teknologi ialah alat. Bukan tujuan utama dalam belajar tetapi sebagai  alat yang menyumbang kepada kefahaman.

4.    Apa yang perlu dipersoalkan di sini selayaknya berkisar pada WHAT TO TEACH bukan HOW TO TEACH. Kerana, kebanyakkannya hari ini persoalan kaedah lebih banyak diutamakan berbanding apa yang hendak diajar. Apabila kita mengatakan bahawa isi/ kandungan yang lebih penting bukannya bermakna kaedah itu tidak penting. Kaedah juga penting, tetapi kita sepatutnya meletakkannya di kedudukan yang betul. Bukan meletakkan sebagai yang lebih utama dan perlu banyak dipersoalkan.

5.   Gesaan teknologi juga pada fikiran saya kebanyakkan tidak menyumbang kepada proses pemahaman yang lebih mudah terhadap sesuatu pelajaran. Tetapi kebanyakkan pendidikan berasaskan teknologi sekarang banyak yang tidak memudahkan bahkan merumitkan lagi proses pembelajaran kerana fokusnya lebih kepada teknikal teknologi yang digunakan. Hasilnya, masalah yang lain pula akan timbul dek kerana penggunaan teknologi. Selagi mana kita tahu akan kedudukan letak duduk teknologi, kita akan mampu menggunakannya dengan kadar yang baik dan betul.


Maaf atas kekurangan.
Allah jua yang Maha Mengetahui.