Pages

Saturday 22 June 2013

PERTEMUAN YANG CUKUP BERMAKNA




Alhamdulillah, semalam saya telah menghadiri Kursus Pandangan Hidup Islam (KPHI) yang telah diadakan di Wisma Wanita, Kuching. Kali ini, tajuk yang disampaikan agak berat tetapi sangat bermakna dan bermanfaat. Selaku penganjur, saya dan beberapa orang rakan telah menjadi pengiring kepada guru-guru yang akan menyampaikan tajuk dalam KPHI tersebut. Bukan senang untuk bersama dengan para ilmuwan ini apatah lagi mereka merupakan anak-anak murid terdekat Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang merupakan ilmuwan terulung Melayu. Sepanjang bersama mereka, banyak input yang baru dan sangat berguna. Sungguh tidak pernah terfikir, seusia muda sekitar 20 ini saya telah banyak melalui pengalaman yang cukup bermakna. Ramai juga ilmuwan yang telah saya jumpa dan dekati yang bukan bermaksud atas dasar populariti tetapi atas dasar ilklim keilmuan.

(Penulis bersama Dr. Zaidi dan Muhammad Zarif)

(Dr. Zaidi menandatangani buku beliau yang saya beli)



Usia muda sebeginilah yang seharusnya untuk kita lebih mendekati para ulama dan ilmuwan dalan menganggapi makna-makna kehidupan ini. Seperti biasa, apabila ilmuwan yang berkunjung ke Sarawak, perkongsian ilmu secara langsung terhadap ilmuwan tersebut akan menjadi antara agenda utama saya dan rakan-rakan tidak kira di mana sahaja.(selalunya dalam kereta, ketika makan dan ketika berada di tempat tumpangan).

Malah, dalam usia yang sangat muda ini saya telah diperkenalkan dengan buku-buku ilmiah yang sangat penting terutamanya buku Budaya Ilmu satu penjelasan (Prof Wan Mohd Nor Wan Daud) pada hemat saya buku yang banyak mempengaruhi kerangka pemikiran saya. Bahkan saya berkesempatan menziarahi  Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud di CASIS, UTM ketika pengembaraan ilmu di sekitar KL beberapa minggu yang lepas.

Mudah-mudahan pengembaraan ilmu ini akan  akan terus diusahakan dan menjadi suatu yang sangat bermakna buat diri saya yang dambakan ilmu. 

Thursday 13 June 2013

IPT: Institusi Pembodohan Tertinggi


oleh: Abdul Muntaqim

Memang mengagumkan, kita mempunyai ratusan IPT di negara ini. Inilah pusat-pusat pendidikan yang diharapkan akan melahirkan individu-individu berkualiti yang akan mampu untuk memacu pembangunan negara dan menjadikan kehidupan masyarakat di negara ini secara keseluruhannya lebih selesa dan lebih baik. Namun, beberapa kes penculikan kanak-kanak yang berlaku kebelakangan ini membayangkan kepada kita betapa negara kita masih mempunyai penduduk manusia berlagak binatang. Statistik kes jenayah yang mencecah puluhan ribu di negara ini juga membayangkan seolah-olah kita mempunyai rakyat yang tidak terdidik dengan adab manusiawi. Soal keruntuhan moral dan salah laku yang banyak berlaku di kalangan remaja dan juga pegawai-pegawai kerajaan mahupun swasta menampakkan bahawa kita mempunyai masalah dari segi kualiti insan yang kita lahirkan. Tambah merisaukan juga adalah kadar pengangguran yang masih lagi di sekitar 340,000 orang (sila semak data Bank Negara Malaysia serta Jabatan Perangkaan Malaysia). Apakah graduan yang kita lahirkan tidak berkualiti, ataupun negara kita sudah kehabisan pekerjaan?
Jawapannya sebenarnya begitu jelas: kerana kita semua dipaksa masuk ke dalam satu sistem pendidikan yang tidak mendidik pun. Kita semua diletakkan dalam IPT: Institusi Pembodohan Tertinggi. Realitinya, sekolah dan universiti di negara kita lebih banyak membodohkan manusia daripada menambah bijak insan. Renungi kata-kata Bertrand Russell: “Men are born ignorant, but they are made stupid by the education.
Saya tidak sama sekali menolak kepentingan pendidikan, kerana pendidikan itu adalah suatu yang sangat penting. Cuma persoalan yang perlu kita tanyakan: Adakah kita semua melalui proses pendidikan dalam erti kata ‘pendidikan’ yang sebenarnya? Adakah pendidikan di negara ini benar-benar bersifat mendidik? Untuk memahami pendidikan, mungkin kita perlu membezakan di antara pendidikan dan pengajaran. Merujuk kepada buku “Pendidikan Rabbani: Mengenal Allah Melalui Ilmu Dunia” oleh Prof. Dr. Sidek Baba, saya merumuskan bahawa pengajaran itu adalah proses penyampaian maklumat, pemindahan ilmu, penyampaian pengetahuan serta perkongsian pengalaman; semata-mata. Pendidikan juga mempunyai proses yang sama, cuma pendidikan membawa pengertian dan maksud yang jauh lebih mendasar dan penting. Istilah ‘didik’ itu sendiri membawa makna asuh, pupuk dan bentuk. Justeru, konsep pendidikan berkait rapat dengan asas nilai yang akan berperanan untuk membantu perkembangan minda dan tingkah laku seseorang.
Kita juga perlu memahami apakah matlamat akhir pendidikan. Matlamat akhir pendidikan seharusnya adalah untuk memanusiakan manusia. Dalam konteks negara kita pada hari ini, apabila pihak yang bertanggungjawab gagal memahami dan mengenalpasti matlamat akhir pendidikan, itulah yang akhirnya akan membawa kepada kegagalan dalam proses ‘pendidikan’ itu sendiri; yang mana pada hari ini saya merasakan hanya layak digelar proses ‘pengajaran’. Untuk memahami hal ini, elok kiranya kita merujuk kepada perbahasan Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam “Risalah Untuk Kaum Muslimin”. Beliau memberikan perbezaan antara konsep warganegara yang baik (good citizen) dengan manusia yang baik (good man).
Apa yang berlaku pada hari ini, melalui proses ‘pengajaran’, adalah usaha untuk melahirkan ramai warganegara yang baik. Warganegara yang baik adalah mereka yang berpengetahuan dan berketrampilan, ada kemahiran dan kebolehan seperti membaca, menulis, ada ilmu tentang sistem dan teknologi serta memahami tanggungjawab-tanggungjawab kewarganegaraan. Warganegara yang baik adalah orang yang boleh menyumbang ke arah pembangunan negara dari segi fizikal. Sedangkan manusia yang baik bukan sahaja memiliki ciri-ciri warganegara yang baik, tetapi juga memiliki asas dan pegangan nilai yang utuh, serta mempunyai adab. Apabila manusia itu memiliki sistem nilai yang utuh, barulah ia akan mampu untuk membuat pertimbangan dan keputusan dengan tepat kerana sistem nilai itulah yang akan memberitahu yang mana betul dan yang mana salah. Malah, dengan adanya pegangan nilai, manusia yang baik juga akan mempunyai adab; yakni tahu meletakkan sesuatu itu betul pada tempat dan kedudukannya yang layak. Hanya manusia yang baik, yakni manusia yang mempunyai adab, akan dapat menyumbang ke arah pembinaan suatu peradaban atau tamadun yang gemilang.
Malangnya, apa yang berlaku pada hari ini adalah negara kita memberikan penumpuan yang tidak seimbang dalam konteks pembangunan dan pendidikan. Sistem pendidikan kita seolah-olah meletakkan penekanan yang sangat tinggi terhadap usaha melahirkan ‘good citizens’. Justeru, para pelajar kita hanya diajar dengan ilmu dan pengetahuan untuk menjadi warganegara yang baik semata-mata, bukan manusia yang baik. Kerana itulah kita menyaksikan sistem pendidikan kita diolah dengan satu bentuk yang seolah-olah ingin melahirkan manusia-manusia robot; manusia yang hanya tahu mengikut arahan, hanya pandai melakukan tugasan yang spesifik, tidak mempunyai kemahiran berfikir yang baik, serta terhakis nilai-nilai manusiawi seperti jujur, ikhlas, amanah, adil dan sebagainya. Akibatnya, menurut Tuan Haji Ahmad Mohamad Said, sebanyak mana sekalipun maklumat atau ilmu dicapai oleh manusia, perkembangan nilai-nilai manusiawinya tetap tergendala dan terbantut.
Fikirkan; apabila manusia hilang kemanusiaan, tidakkah manusia itu menjadi semakin kebinatangan? Lihatlah sekeliling kita, di negara kita dan di seluruh dunia; manusia disembelih dan dibunuh sewenang-wenangnya, wanita-wanita (malah kanak-kanak perempuan) dirogol di mana-mana, orang-orang kaya yang semakin kaya tidak mempedulikan orang-orang miskin yang semakin papa kedana, lelaki dan wanita bertukar-tukar pasangan untuk melakukan seks sesuka hati... ibarat binatang lagaknya?
Justeru, adalah penting untuk kita keluar daripada ‘kepompong’ Institusi Pembodohan Tertinggi ini yang membodohkan manusia daripada mengetahui kebenaran dan memahami peranan dan fungsinya yang benar sebagai manusia. Tanpa kemanusiaan, manusia tidak akan ke mana-mana. Dato’ Dr. Siddiz Fadzil pernah menyatakan dalam sebuah penulisannya bahawa, “Proses pemerkasaan bangsa harus bermula dengan mengembalikan kemanusiaannya sebagai makhluk mulia dengan mengemblengkan seluruh potensi kemanusiaannya termasuk daya fikiran, daya rasanya dan daya kreatifnya.
Di samping itu, yang paling penting bagi kita sebagai orang Islam adalah apabila memahami matlamat akhir pendidikan untuk memanusiakan manusia, adalah sangat penting juga untuk kita memahami peranan dan fungsi asal manusia. Peranan asal dan utama manusia adalah sepertimana yang dinyatakan secara jelas oleh Allah S.W.T. dalam Al-Qur’an, ayat ke-56 surah Adz-Dzaariyaat yakni untuk mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Maka, apabila kita mengatakan bahawa matlamat akhir pendidikan adalah untuk memanusiakan manusia, kita bermaksud untuk mengembalikan manusia kepada fitrah asal kejadiannya yakni untuk tunduk kepada Allah S.W.T., seterusnya menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebagai khalifah di muka bumi ini; memakmurkan serta mentadbir kehidupan di dunia ini mengikut segala peraturan dan undang-undang Allah S.W.T. Renungi maksud ayat suci Al-Qur’an yang mengisahkan peristiwa ketika kita mula-mula sekali diciptakan, yakni ketika kita masih lagi berada di alam roh sebelum dihantar ke jasad kita untuk menjalankan tanggungjawab di dunia ini;
Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): ‘Bukankah Aku ini Tuhanmu?’ Mereka menjawab: ‘Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi.’...” (Surah Al-A’raaf, ayat ke-172)
Allah jua yang Maha Mengetahui.