Pages

Friday 16 March 2012

Adab yang Sering Diabaikan



Dengan nama Allah Subhanahu wa ta’ala yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah, Tuhan seluruh alam. Maha Suci Allah, Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Juga kepada ahli keluarga baginda yang mulia, serta kepada para sahabat baginda yang terpuji.

“ sesungguhnya Allah swt mengangkat darjat orang yang beriman dan mengangkat darjat orang yang berilmu beberapa darjat”
Ayat di atas merupakan antara dalil daripada Al-Quran yang menunjukkan bahawa ganjaran  ataupun kebaikan yang diperolehi oleh seseorang yang berilmu. Jika difahami bahawa ayat diatas merujuk kepada penuntut ilmu, sememangnya benar. Tetapi, satu perkara lagi yang kebanyakkan seseorang yang menuntut ilmu sering mengabaikan perkara yang penting dalam proses menuntut ilmu iaitu adab dengan ilmu dan guru. Antara yang perlu kita fahami bahawa, ayat di atas juga menunjukkan bahawa Allah swt membesarkan dan memuliakan orang-orang yang berilmu. Lihat, Allah swt memuliakan orang yang berilmu, tetapi adakah kita ini seorang yang memuliakan orang yang berilmu iaitu para ilmuan, ulama dan guru-guru. Sepertinya sekarang semakin hilang adab seseorang penuntut ilmu dengan gurunya. Sekiranya penuntut ilmu memahami bahawa memuliakan dan menghormati orang berilmu merupakan sunnah Allah swt dan mengikutinya, pasti tidak akan berlaku apa yang diistilahkan sekarang sikap kurang ajar dengan orang yang berilmu iaitu para ulama, ilmuan dan para guru.

Seseorang yang berjalan dalam landasan ilmu, sepatutnya mengetahui bahawa adab dengan guru dan ilmu merupakan perkara yang amat penting. Perihal adab ini, jika ditelusuri studi ilmu islam, kebanyakkannya mengajar manusia untuk beradab. Seorang anak murid Imam Maliki pernah menyatakan bahawa; “ aku belajar dengan Imam Maliki selama 20 tahun, 18 tahun belajar tentang adab dan 2 tahun belajar bidang lain”. Lihat ungkapan anak murid Imam Maliki ini, beliau belajar tentang adab selama 18 tahun, bermakna bidang adab itu sesuatu yang teramat penting dalam kehidupan.
Mengapa adab itu penting dalam proses menuntut ilmu? Sekiranya kita ingin mengetahui kepentingannya, terlebih dahulu kita memahami makna ilmu dan sifat ilmu. Satu makna ilmu yang diguna pakai oleh kebanyakkan ilmuan ialah makna yang dinukilkan oleh seorang ilmuan muslim yang agung iaitu Prof. Syed Naquib Al-Attas. Takrifan akan ilmu oleh Syed Naquib Al-Attas iaitu; “ ilmu itu merupakan kedatangan makna kepada diri, dan kedatangan diri kepada makna”. Melalui takrifan ilmu tadi, dapat difahami bahawa ilmu itu sesuatu yang bermakna dan memberi kesan dalam jiwa kita. Hal ini menunjukkan bahawa ilmu itu tidaklah sama dengan maklumat kerana maklumat tidak semestinya sesuatu yang bermakna, tetapi maklumat itu boleh menjadi ilmu bilamana maklumat itu merupakan perkhabaran yang benar dan memberi makna. Takrifan yang kedua mempunyai kaitan dengan mauduk perbincangan kita iaitu; kedatangan diri kepada makna menunjukkan bahawa seorang penuntut ilmu berusaha ke arah makna tersebut. Apa yang menariknya, seseorang yang berusaha ke arah makna tersebut, ada kaitan dengan apa yang dikatakan adab. Adab sebenarnya merupakan cara  dan bagaimana untuk kita ke arah kehadiran ataupun kedatangan kepada makna tersebut. Maksudnya, bila kita cuba mencari ilmu,adab dalam diri seorang penuntut ilmu perlu ada kerana adab tersebut yang akan menyebabkan sejauh mana kita mendapat makna melalui ilmu yang kita pelajari. Sekiranya kita mengabaikan adab tersebut, kedatangan kita ke arah makna tersebut terdapat kecacatannya.

Sebagai analoginya untuk kita lebih memahami apa yang saya katakan dalam perenggan di atas; sebagai contoh, seorang hamba yang bekerja dengan seorang majikan. Hamba tersebut memahami bahawa jika ingin kelangsungan hidup ( hendak hidup), perlu sentiasa berusaha untuk ke arah kelangsungan tersebut. Hamba tadi mempunyai majikan, maka dia akan sentiasa menurut segala arahan majikannya supaya majikannya dapat menjaga kelangsungan hidupnya. Dia memahami bahawa dia hanya seorang hamba yang hina, maka dia perlu sentiasa menurut arahan majikannya. Sekarang kita cuba masukkan analogi tadi dalam perihal adab tadi. Hamba tadi inginkan kelangsungan hidup sama dengan seseorang insan tahu dia memerlukan ilmu. Hamba tadi bekerja dengan seorang majikan, jika dia tidak menurut arahan ketuanya, maka dia tidak akan diberi kelangsungan hidup sama dengan seorang penuntut ilmu memerlukan guru untuk mengajar dan perlu dia ketahui bahawa dia perlu beradab dengan guru tersebut kerana gurulah yang akan menyampaikan ilmu. Apa yang dikatakan diberi kelangsungan hidup oleh majikannya dalam kehidupan hamba tadi, sama juga dengan ilmu yang akan diberikan kepada penuntut ilmu sebenarnya datangnya daripada Allah swt melalui perantaraan seseorang guru. Hamba yang memahami dirinya seorang yang hina, maka dalam diri seseorang penuntut ilmu tadi perlu mamahami bahawa dirinya seorang yang jahil dan tidak mengetahui apa-apa. Sekiranya seseorang penuntut ilmu memahami ilmu itu penting sebagai matlamat,  ke arah ilmu itu memerlukan guru, memahami dirinya seorang yang bodoh, maka secara ‘automatiknya’ akan membuahkan adab dalam diri seseorang penuntut ilmu.

Dalam konteks mauduk adab ini, ditekankan bahawa adab yang sering diabaikan ialah adab dengan ilmu dan adab dengan penyampai ilmu iaitu guru. Sebelum itu Kita lihat dahulu sesuatu yang bertentangan dengan adab dengan ilmu dan adab dengan guru. Seseorang yang menuntut ilmu, jika melihat ilmu tersebut hanyalah sebagai alat untuk mendapatkan pekerjaan, untuk mendapatkan sosioekonomi yang baik, maka itulah sebenarnya tidak beradab dengan ilmu. Seseorang yang mengetahui bahawa mencari ilmu itu bukanlah sebagai alat semata-mata tetapi mengutamakan ilmu sebagai matlamat ,  itulah adab dengan ilmu. Matlamat hidup ini perlu kita ketahui seperti sebab dan tujuan hidup seseorang insan di dunia ini, maka dia akan mengetahui bahawa mencari ilmu itu bukanlah semata-mata untuk mendapatkan pendapatan yang lumayan. Hal ini sering ditunjukkan melalui kehidupan kebanyakkan ulama, mereka walaupun  sudah mendapat tempat di mata masyarakat tetapi mereka tetap konsisten mencari ilmu kerana bagi mereka ilmu itu adalah matlamat hidup. Betapa ramai ulama dan ilmuan yang di tawarkan dengan kehidupan yang mewah, tetapi mereka menolak kerana mereka tidak melihat ilmu itu sebagai alat tetapi sebenarnya matlamat! Pertentangan adab dengan guru pula, seseorang yang menuntut ilmu tidak akan melihat keutamaan memuliakan guru tersebut. Mereka tidak meletakkan guru itu ditempat yang selayaknya. Sekarang, terdapat pula segelintir pelajar yang memperlekehkan guru-guru mereka. Mereka akan berasa benci dan marah bilamana guru tersebut menegur mereka. Apatah lagi sekarang, dalam dunia pendidikan moden, terdapat pula pelajar yang tidak puas hati dengan guru atas sebab guru tersebut memberi latihan ataupun kerja yang banyak. Terdapat juga mereka yang memandang guru itu sebagai seorang insan biasa sehinggakan mereka berasa lewat untuk ke kelas sesuatu perkara yang biasa. Hal inilah merupakan antara contoh biadap dan kurang ajarnya pelajar dengan guru mereka. Sepatutnya mereka meletakkan guru yang mengajar mereka di tempat yang selayaknya mengikut kemuliaan yang ada pada mereka. Sebab itu pada permulaan tadi diketengahkan ayat yang menunjukkan bahawa memuliakan orang yang berilmu itu adalah sunnah Allah swt dan jika kita pula tidak membesarkan apa yang dibesarkan Allah swt, sesungguhnya kita adalah insan yang kurang ajar dengan Allah swt. Apatah lagi sekarang ini, banyak pelajar-pelajar yang lebih memuliakan artis-artis pujaan mereka. Mereka akan marah sekiranya artis pujaan mereka ditomah dan dihina, tetapi bilamana dengan guru, tidak pula mereka akan marah jika seseorang tidak beradab dengan guru tersebut. Sesungguhnya inilah sebenarnya yang telah menyebabkan para penuntut ilmu tidak mempunyai kualiti ilmunya.

Melalui penjelasan akan pertentangan dengan adab tersebut, maka sebagai ‘batu loncatannya’ perlu untuk kita sedaya-upaya untuk menjauhkan diri yang menuntut ilmu untuk tidak termasuk dalam kalangan pelajar yang tidak beradab dan kurang ajar. Sekiranya kita memahami hakikat adab tersebut, tidak akan timbulnya masalah, malah akan membuahkah penuntut ilmu yang ‘masak ranum’. Dalam proses menuntut ilmu, perlu untuk kita meletakkan ilmu dan guru di tempat yang selayaknya. Perlu difahami ilmu itu datangnya daripada Allah swt, maka ilmu itu sesuatu yang mulia, bersifat rohani dan suci. Sebab itu, kita perlu persiapkan diri dengan adab kerana kita sedang berhadapan dengan sesuatu yang mulia, maka kita hendaklah menghadirkan diri dalam keadaan yang mulia dan beradab.  Kita hendaklah mencuba sedaya-upaya untuk menjaga adab dengan para guru dan ilmu. Hal ini kerana, adab itulah yang akan menyebabkan kita memperolehi ilmu tersebut.  Adab tersebutlah yang akan memperkenankan Allah swt untuk meletakkan ilmu di dada para penuntutnya.

Jika terdapat persoalan, mengapa banyak yang mempunyai pendidikan yang tinggi, tetapi masih tidak mempunyai akhlak yang baik. Hal ini tidak lain tidak bukan mempunyai kaitannya dengan adab dengan ilmu dan guru. Kemungkinan mereka tidak meletakkan adab dengan ilmu dan guru sesuatu yang penting. Mari kita renung kata-kata seorang ulama, Al Musnid Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki; “ tempat-tempat pengajian semakin banyak dibina dan taraf pendidikan semakin meningkat, tetapi keruntuhan akhlak semakin meningkat, sedangkan formula menuntut ilmu yang sebenarnya, semakin tinggi pendidikan semakin takut kepada Allah swt”.

Sekadar ini sahaja yang dapat saya ketengahkan. Mohon maaf jika terdapat kekurangan. Masih banyak lagi adab-adab yang saya tidak ketengahkan atas kekurangan diri dan ruangan nukilan yang ringkas ini. Saya hanya menekankan sedikit penjelasan berkenaan adab dengan ilmu dan adab dengan guru. sesungguhnya saya bukanlah orang yang pakar dalam menjelaskan perihal adab, tetapi saya hanya ingin membuka mata para pembaca terutamanya mereka yang menuntut ilmu akan perihal adab.
Allah jua Maha Mengetahui.


Rujukan:
Al Quran
‘Budaya Ilmu satu Penjelasan’ karangan Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud
‘Adab dan Doa Penuntut Ilmu’ karangan Al Musnid Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al Maliki