Thursday 27 March 2014
Monday 3 February 2014
10 perkara asas bagi penuntut ilmu (sekaligus pemburu buku)
Oleh : Saudari Najibah
Siaran IKIM petang semalam (19 Februari) yang ke udara bersama Dr. Farid Shahran, telah membuat kupasan terhadap sebuah buku berjudul Ta’lim al-muta’allim tariq al-ta’alum, oleh Burhan al-Din al-Zarnuji (hidup sekitar kurun 12 dan 13 Masihi). Inti yang dikupas adalah 10 perkara asas yang patut diketahui oleh penuntut ilmu sebelum menerjuni sesuatu bidang ilmu.
Di sini saya perturunkan lebih dulu 10 perkara itu, dengan
contoh-contoh yang saya kembangkan menurut kefahaman sendiri dan bukan
sepenuhnya daripada Dr. Farid Shahran (mohon ditegur sekiranya kurang tepat).
Menurut al-Zarnuji, penuntut ilmu wajar mengetahui:
1. Nama ilmu yang
dipelajari, contohnya apakah ilmu itu ilmu aqidah, tafsir, hadis, fiqh atau
kimia, fizik, matematik, psikologi, dan sebagainya.
2. Sumber ambilan,
iaitu daripada mana ilmu itu berasal; dalam dunia moden hari ini merupakan
rujukan, nota kaki, referensi atau bibliografi yang memberi penghormatan dan
kejelasan mengenai sumber asal.
3. Kandungan utama
ilmu; iaitu subjek-subjek penting yang diperkatakan dalam pengajiannya
4. Skop bahasan,
mauduk atau perincian ilmu tersebut
5. Faedah ilmu
yang dipelajari
6. Nisbah atau
kedudukan ilmu itu berbanding ilmu lain (dalam bahasa ‘Arabnya Ihsa’ al-’Ulum); contohnya ilmu aqidah sudah semestinya
lebih tinggi kedudukannya daripada ilmu geologi, namun tidak pula bererti ilmu
geologi tidak penting
7. Siapa yang
menjadi pelopor, pemula, penyusun atau pengembang bidang ilmu tersebut
8. Hukum belajar
ilmu yang sedang dipelajari, sama ada fardu ‘ain atau fardu kifayah
9. Fadilat atau
kelebihan ilmu yang sedang dipelajari
10. Kesudahan ilmu
itu, sama ada untuk kepentingan dunia atau akhirat.
Saya terfikir betapa 10 perkara penting bagi penuntut ilmu itu,
sangat-sangat sesuai juga diaplikasikan bagi para pencinta buku – dalam memburu
buku-buku bacaan dan mentelaahnya.
Jika selama ini kita memilih buku-buku bacaan secara mengikut
selera nafsu sahaja dan tidak terarah, mungkin sudah sampai waktunya untuk kita
cuba mengaplikasikan 10 perkara asas di atas setiap kali ingin menambah buku
baru ke rak peribadi.
Adakah sebuah buku yang kita tambahkan ke rak itu, kita sudah
tahu nama bidang ilmu yang dibahasnya? Adakah kita pasti dengan kredibiliti
sumber ambilan buku itu? Adakah perkara yang diperkatakan buku itu merupakan
kandungan utama sesuatu bidang ilmu? Apakah faedah dan fadilatnya jika kita
membaca buku itu nanti? Adakah intisari buku itu lebih penting daripada
buku-buku lain yang sepatutnya lebih dahulu perlu kita baca, kaji atau telaah?
Pengarang manakah yang mendahului dalam mengarang buku seumpama yang sedang
kita mahu beli?
Semua soalan di atas dapat menjadi seperti satu senarai semak
kepada kita setiap kali ingin membeli buku baru, secara tak langsung tentu akan
dapat menambah kualiti buku-buku yang bakal menduduki rak buku kita. Dan jika
dilihat dari segi kadar membeli buku berbanding membaca seperti yang tertera
dalam perbincangan “Beli buku banyak banyak itu tandanya dia ulat buku. Betul ke bohong?” di Goodreads
Malaysia (sebuah komuniti atau kelab buku Malaysia dalam talian, dengan lebih
1500 ahli setakat ini), mungkin senarai semak ini dapat menjadi pengekang
kepada nafsu membeli pengumpul buku yang sentiasa membuak-buak (termasuk saya
sendiri, tentunya).
Dr. Farid Shahran juga menyentuh betapa pentingnya untuk kita
berusaha memperluas dan memperdalam ilmu sekaligus, bukan semata-mata bertumpu
kepada bidang kita yang hakiki. Beliau memberi contoh bagaimana seseorang yang
memasuki Islam dari pintu tasawuf semata-mata misalnya, boleh terkepung dek
kejahilannya terhadap bidang lain seperti fiqh, hingga boleh timbul kesesatan.
Tentunya kita pernah mendengar mengenai ketua ajaran sesat yang melepaskan
dirinya dan pengikut daripada kewajiban ibadat solat sedangkan itu merupakan
tiang agama.
Perluasan ilmu yang dikatakan Dr. Farid ini pastinya menuntut
kita membaca dengan lebih meluas, lalu mencabar dan melepaskan diri dari
keselesaan genre yang sudah sebati dengan kita. Ini senada dengan seruan SN
Dato’ Anwar Ridhwan dalam akhbar Berita Harian pada
4 Februari 2013: Pandai memilih atau terkeweh: pilih buku haruslah berkualiti.
Praktis amalnya tentu tidak semudah menulis di blog mengenai hal
ini. Tetapi sekurang-kurangnya ini mampu menguak sedikit kabus yang adakalanya
bertindak bagaikan skrin yang menyekat fikiran dan mata kita daripada meneroka
ruang yang lebih luas di hadapan.
Apapun, bagi sesiapa yang mencari buku ini dalam bahasa
Inggeris, telah ada dua versi terjemah yang dapat saya kesan:
1. Von Grunebaum,
G.E. & Abel, Theodora M. (2003). Instruction of the student: the
method of learning. USA: Starlatch Press.
2. Mochtar,
Affandi. (2009). The method of Muslim learning. New
York: Global Scholarly Publications.
Bagi pelajar Universiti Islam Antarabangsa, kedua-dua versi
terjemah ini serta buku asal dalam bahasa Arab boleh didapati di perpustakaan
universiti. Malangnya dua kedai buku utama Malaysia iaitu MPH tidak memiliki
judul ini dan Kinokuniya sudah habis stok.
sumber : http://bukuria-malaysia.com/2013/02/10-perkara-asas-bagi-penuntut-ilmu-sekaligus-pengumpul buku/
Saturday 1 February 2014
Golongan Ahlusunnah menurut Imam al-Baghdadi
Oleh DR. ASMADI MOHAMED NAIM
SAYA membaca tulisan mengenai makna atau definisi Ahlu al-sunnah
wal Jamaah (ASWJ) daripada seorang penulis mingguan pada pertengahan November
2009 lepas. Penulis mengutip definisi Ahlussunnah yang ditulis oleh Imam
al-Baghdadi (wafat429H) dalam kitabnya, al-Farq Baina al-Firaq.
Namun malangnya perkataan al-turuq al-sifatiah atau
'jalan-jalan sifat' dalam definisi tersebut diabaikan. Walhal, itulah antara
perkara yang penting untuk menentukan sama ada tauhid yang mensyarahkan
sifat-sifat 20 adalah sesuatu yang baru atau sememangnya sudah lama.
Pada saya, ada sedikit masalah 'ketidakjujuran ilmu', bila dia
tidak menerangkan secukupnya maksud al-Baghdadi apabila
mensyarahkan pengertian ASWJ.
Demikian juga, ada sebuah lagi penulisan yang menceritakan
aliran pemikiran tauhid di Nusantara, yang merujuk bahawa aliran yang
mensyarahkan Sifat 20 hanyalah muncul selepas tahun 1,000 Hijrah melalui Imam
Sanusi dengan kitabnya Umm al-Barahin.
Penulis tidak merujuk kemunculan metod tersebut kepada
penyusunnya yang sebenar iaitu Abu Hassan al-Asy'ari (wafat324H) yang muncul
pada akhir kurun ke 3 Hijrah. Ini masalah 'sikap amanah' dalam penulisan.
Dalam kesempatan ini, saya hanya mahu menjelaskan siapakah
Ahlussunnah menurut penulisan Imam al-Baghdadi yang telah menjadi rujukan
definisi ASWJ supaya pembaca dapat memahaminya secara jelas.
Beliau menyatakan (hal.19): "Maka golongan yang ke 73 ialah
Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu golongan ahl al-ra'y (Ibu Hanifah
dan murid-muridnya) dan ahlu al-hadis; bukan mereka yang mempermain-mainkan
hadis; dan ulama fikah mereka, penghafal al-Quran mereka, perawi hadis daripada
mereka, dan ulama hadis di kalangan mereka, semuanya sepakat atas keesaan Pencipta,
keesaan sifat-sifat-Nya, keadilan-Nya, hikmah-Nya dan nama-nama-Nya dan pada
bab kenabian dan kepimpinan, hukum hudud dan pada perkara
usuluddin."
Seterusnya, Imam al-Baghdadi Rahimahullah memperincikan lapan
golongan yang termasuk dalam Ahlusunnah wal Jamaah (lihat bukunya dari halaman
240-243):
Golongan pertama, mereka yang menguasai ilmu khususnya dalam
bab Tauhid (meng-esa-kan Allah) dan kenabian, hukum-hukum wa'ad (khabar
gembira) dan wa'id (ancaman seksa), pahala dan balasan, syarat-syarat ijtihad,
pemerintahan dan kepimpinan. Mereka yang melalui jalan ini ialah ulama Kalam
(Tauhid) yang bebas dari fahaman tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan
makhluk) dan bebas daripada fahaman ta'til (yang menafikan sifat-sifat yang
Azali bagi Allah SWT), dan bebas daripada bidaah al-Rafidhah, Khawarij,
Jahmiah, Najariah dan seluruh pengikut bidaah dan hawa nafsu.
Golongan kedua ialah imam-imam fiqh sama ada kumpulan
yang cenderung pada rakyun (dalil aqal) atau hadis. Iaitu mereka yang
beriktikad (berkeyakinan) pada perkara usuluddin dengan mazhab-mazhab sifat
pada Allah dan pada sifat-sifatnya yang azali (membicarakan sifat-sifat Allah
SWT sebagaimana sifat 20), dan mereka bebas daripada fahaman Qadariah dan
Muktazilah; mereka menetapkan melihat Allah Taala dengan mata (di akhirat
kelak) dengan mata tanpa tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), tanpa
ta'til' (menafikan sifat-sifat Allah). Termasuk dalam golongan ini ialah
murid-murid kepada Malik, al-Shafie, al-Auza'i, al-Thauri, Abu hanifah, Ibn Abu
Laila (wafat148H), sahabat-sahabat Abu Thaur (wafat240H), sahabat-sahabat Ahmad
bin Hanbal (wafat241H), ahli al-Zahir, keseluruhan ulama fiqh yang beriktikad
dalam bab-bab akal ini dengan prinsip-prinsip Sifat (tauhid yang membahaskan
Sifat-sifat Allah). Dan mereka tidak mencampurkannya dengan apa-apa daripada
ahli bidaah dan hawa nafsu.
Golongan ketiga ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu
yang berkaitan dengan periwayatan hadis dan sunnah yang disampaikan oleh Nabi
SAW, mereka berupaya membezakan antara sahih dan cacat antaranya, mengetahui
sebab-sebab al-jarh wa al-ta'dil (kredibiliti seorang rawi) dan mereka tidak
memasukkan ilmu mereka dengan apa-apa daripada ahli bidaah dan nafsu yang
menyesatkan.
Golongan keempat ialah kaum yang menguasai kebanyakan
topik-topik sastera Arab, nahu dan saraf. Mereka berada atas jalan pakar bahasa
seperti al-Khalil (wafat175H), Abu 'Amr bin al-'Ala (wafat 145), Sibawaih
(wafat 180H), al-Farra' (wafat 207H), al-Akhfash (wafat 215H), al-Asma'i,
al-Mazini (wafat 236H), Abu Ubaid (wafat 224H) dan seluruh imam-imam Nahu sama
ada ulama-ulama Kufah atau Basrah, yang mana mereka tidak mencampurkan ilmu
mereka dengan sesuatu daripada bidaah al-Qadariah, atau Rafidhah atau
Khawarij.Maka sekiranya seseorang itu cenderung ke arah nafsu yang menyesatkan,
maka bukanlah ia daripada golongan Ahlussunnah walaupun kata-katanya adalah
'hujah' dalam ilmu bahasa dan Nahu.
Golongan kelima, antaranya ialah mereka yang menguasai ilmu
yang berkaitan dengan jenis-jenis qiraat untuk al-Quran dan jenis-jenis
tafsiran al-Quran, penakwilannya berdasarkan mazhab-mazhab Ahlussunnah, tanpa
berpegang dengan takwilan ahli nafsu yang sesat.
Golongan keenam ialah, antaranya ialah para ahli zuhud
sufi yang mempunyai ilmu maka jauh pandangan, yang telah dinilai maka ia
diiktibarkan, mereka reda dengan hidup yang ringkas, mereka mengetahui bahawa
penglihatan, pendengaran dan hati dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan
kejahatan; menghisab dengan neraca zarah-zarah, justeru menyediakan diri mereka
dengan sebaik-baik persiapan untuk hari Kiamat. Perkataan mereka berjalan di
atas dua jalan iaitu secara jelas dan isyarat di atas jalan ahli hadis, tanpa
mereka 'membeli' pandangan yang mempermainkan hadis. Mereka tidak melakukan
kebaikan kerana riak, tidak pula meninggalkan kebaikan kerana malu kepada orang
lain. Agama mereka hanya satu dan menafikan pentasybihan (menyerupakan Allah
dengan makhluk), mazhab mereka ialah tafwidh (menyerahkannya) kepada Allah SWT,
bertawakal kepada-Nya, penyerahan kepada-Nya, tenang dengan apa yang
direzekikan-Nya.
Golongan ketujuh ialah, antaranya kaum yang terikat
dengan barisan hadapan peperangan dengan orang-orang kafir, berjihad melawan
musuh-musuh Islam, mereka menjadi benteng melindungi umat Islam, meninggalkan
isteri-isteri mereka dan negara mereka dan menzahirkan pada barisan hadapan
mereka Mazhab ASWJ.
Golongan kelapan ialah, antaranya kebanyakan
negara-negara yang secara kebiasaannya terdapat syiar ASWJ, bukannya negara
yang menzahirkan syiar ahli hawa-nafsu yang sesat.
Itulah huraian sebenar al-Imam Abdul Qahir bin Tohir bin Muhammad
al-Baghdadi. Rupanya, ramai sebenarnya yang diiktiraf sebagai Ahlussunnah. Ia
berbeza dengan pandangan yang meminoritikan dan mengeksklusifkan ASWJ hanya
untuk golongannya sahaja, dengan tuduhan sesat dan bidaah pada perkara
remeh-temeh seperti qunut, talkin, zikir selepas solat, berdoa beramai-ramai
dan sebagainya.
Lihat kata Imam al-Baghdadi tentang perkara-perkara cabang (hal.
19): "Mereka (ASWJ) hanya khilaf mengenai halal dan haram pada cabang
hukum, bukanlah khilaf tersebut mengundang kepada sesat dan fasik; mereka
adalah puak yang terselamat, kerana mereka bersatu pada keesaan Pencipta dan
qidam-Nya, qidam segala sifatnya sejak azali, dan harus melihat-Nya tanpa
sebarang perumpamaan dan gangguan, serta yakin terhadap isi kandungan kitab-Nya
dan rasul-Nya, dan mengikut segala syariat Islam dan menghalalkan segala yang
dihalalkan oleh al-Quran, dan mengharamkan segala yang diharam oleh al-Quran
serta menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan beriman pada hari
kebangkitan dan perhitungan, dan soal dua Malaikat dalam kubur, beriman dengan
telaga Kauthar dan Timbangan.
Semoga masyarakat Islam tidak terbelenggu dengan perpecahan yang
lebih parah, lantaran perkara-perkara tersebut.
Banyak masa yang perlu digunakan untuk memperbetulkan generasi
muda yang menyongsang arus dengan pelbagai gejala sosial.
Wallahu a'lam.
Subscribe to:
Posts (Atom)