Dengan nama Allah
Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Dengan nama Allah, Tuhan Pentadbir tujuh
petala langit, Pentadbir tujuh petala bumi dan Tuhan Pentadbir ‘Arasy yang
agung. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, Nabi Muhammad, pembuka bagi
sesuatu yang terkunci, penyudah segala nabi yang terdahulu, pembela kebenaran
dengan kebenaran dan petunjuk ke jalan-Mu yang lurus. Limpahkanlah juga rahmat
ke atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya dengan kurniaan yang layak dengan
kadar dan darjatnya yang agung.
Setiap tahun,
kita akan meraikan satu perayaan yang cukup penting iaitu hari guru yang
disambut pada 16 Mei . Pelbagai kemeriahan berlaku terutamanya di
sekolah-sekolah dan tidak kurangnya juga di IPT. Tahniah buat guru-guru yang
selama ini telah bertungkus-lumus dalam merealisasikan hasrat pendidikan. Tahun
ini, dengan tema guru ‘1 aspirasi, 1 agenda’ perlu kita renungi dengan makna
sejauh mana pendidikan kita pada hari ini betul-betul telah memainkan
peranannya dengan sewajarnya iaitu mendidik.
Tersentak
jiwa apabila terbaca sebuah ungkapan daripada Syeikh Muhammad Fuad bin
Kamaludin Al-Maliki dalam muqadimahnya melalui buku ‘Adab dan Doa Penuntut
ilmu’; “pada hari ini kita melihat
pembangunan ilmu umat islam semakin pesat membangun. Institusi-institusi
pengajian tinggi, sekolah-sekolah dan madrasah-madrasah tumbuh bagaikan
cendawan. Namun, satu hal yang tidak dapat kita nafikan, di sebalik pembangunan
itu kita mengalami kemelesatan dan kemunduran akhlak dan spiritual umat islam”.
Lihat saja pada hari ini, kes-kes jenayah semakin meningkat tanpa adanya
pengurangan yang optimum. Hakikatnya kita hidup dalam keadaan yang penuh dengan
ketakutan dan tidak selamat. Mengapa ini berlaku? Apakah sekolah-sekolah dan
IPT tidak melahirkan manusia yang mempunyai sifat manusiawinya tetapi lebih
kepada sifat kebinatangan?
Rumusannya
adalah, pendidikan pada hari ini tidak bersifat dan bermatlamat untuk memanusiakan
manusia! Kini, IPT dan sekolah lebih banyak membodohkan manusia daripada
menambah kebijaksaan insan.
Pada hari
ini, makna pendidikan itu telah disalah ertikan. Apa yang lebih sesuai
dikatakan tentang pendidikan hari ini adalah lebih layak disebut sebagai pengajaran semata-mata dan bukannya
pendidikan. Tegasnya disini, pendidikan tidak sama dengan pengajaran kerana
pengajaran hanyalah berbentuk proses penyampaian maklumat,
pemindahan ilmu, penyampaian pengetahuan serta perkongsian pengalaman;
semata-mata. Pendidikan mempunyai proses yang sama, tetapi pendidikan membawa
pengertian dan makna yang lebih mendasar dan penting.
Penting
juga perlu difahami adalah matlamat akhir pendidikan iaitu memanusiakan manusia
atau dalam makna yang lebih jelas adalah menitipkan adab ke dalam diri insan.
Kegagalan dalam memahami matlamat pendidikan inilah yang menyebabkan kesalahan
dalam merencanakan matlamat tersebut. Pada hari ini, matlamat pendidikan
seolah-olah hanya ingin melahirkan manusia robot yang akhirnya dapat
membangunkan ekonomi Negara semata-mata bukannya mendidik jiwa manusia
tersebut. Mahasiswa-mahasiswa di IPT dihasilkan hanya untuk menjadi pekerja
yang baik dan boleh menyumbang ke arah ekonomi. Tidaklah bermaksud disini
bahawa perkara tersebut tidak penting, tetapi itu bukanlah matlamat yang lebih
utama. Berapa ramai pada hari ini, mereka yang menduduki jawatan tinggi melakukan
pelbagai jenis kesalahan yang besar seperti rasuah dan sebagainya. Jumlah
jenayah semakin meningkat saban hari yang semakin merisaukan. Adakah kita ingin
mengatakan bahawa pendidikan kita sudah berjaya memanusiakan manusia iaitu
untuk tunduk patuh kepada Allah swt?
Dalam
konteks Negara kita pada hari ini, penekanan terhadap pembangunan ekonomi
tersangatlah tinggi. Ekoran itu, para pelajar kita pada hari ini di ajar ilmu
dan pengetahuan yang hanya untuk kepentingan ekonomi dan untuk menjadi warganegara
yang baik. Pendidikan pada hari ini diolah untuk melahirkan manusia robot,
tidak mempunyai kemahiran berfikir , tidak mempunyai pembangunan diri, hanya menurut arahan dan terhakis segala nilai-nilai manusiawi seperti amanah, jujur, ikhlas, sabar dan sebagainya.
Dalam
matlamat sebenar pendidikan, perlu difahami juga akan hakikat kita diciptakan
di dunia ini. Tidak mungkin Allah menghidupkan sesuatu tanpa ada tujuannya.
Maka, peranan kita sebagai seorang insan di dunia ini tidak lain adalah untuk
mengabdikan diri kepada Allah, menjadi khalifah; memakmurkan dan mentadbir
kehidupan di dunia ini mengikut segala aturan dan undang-undang Allah swt.
Justeru, matlamat pendidikan yang sebenarnya adalah memanusiakan manusia yakni
menjadikan manusia sedar akan peranannya dan tujuannya diciptakan serta kembali
kepada fitrah kejadiannya iaitu tunduk dan patuh kepada Allah swt.
Marilah
kita sama-sama bermuhasabah diri, adakah kita sebagai insan telah benar-benar
melakukan peranan kita yang sewajarnya. Adakah pendidikan (lebih layak
dikatakan pengajaran dalam konteks masa ini) yang kita alami sekarang mampu
menjadikan kita sedarkan akan tujuan kita diciptakan. Sewajarnya kita perlu
tahu dengan tepat dan teliti tentang pendidikan yang sebenar. Nasihat buat
teman-teman seperjuangan, boleh rujuk beberapa buah buku yang sangat penting
tentang penjelasan pendidikan ini antaranya ‘Risalah Untuk Kaum Muslimin’
Karangan Prof. Syed Naquib Al-Attas, ‘Falsafah dan amalan Pendidikan
Islam: Syed Naquib Al-Attas satu huraian
konsep asli islamisasi’ karangan Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud.
Sekian
saja untuk kali ini. Mudah-mudahan nukilan ini mampu memberikan kesedaran awal
tentang persepsi terhadap pendidikan yang sebenarnya. Kesedaran yang awal ini
janganlah di sia-siakan dan perlu kepada kefahaman.
Allah
jua Maha Mengetahui.
Rujukan:
Prof.
Syed Naquib Al-Attas : ‘Risalah untuk kaum muslimin’s.
Prof.
Wan Mohd. Nor Wan Daud : ‘Falsafah dan amalan pendidikan islam: Syed Naquib
Al-Attas satu huraian konsep asli islamisasi’.
Syeikh
Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki : ‘Adab dan doa penuntut ilmu’.
Abdul
Muntaqim : Artikel –‘IPT: Institusi pembodohan tertinggi.’