Kuliah Dr. Mohd. Farid Shahran memang jarang
mengecewakan. Pengisian yang disampaikannya, walaupun dengan
nada biasa tanpa banyak “lenggang-lenggok” seorang pemidato, pasti mampu
memuaskan tuntutan setiap diri yang mendambakan ilmu. Kuliah Zuhur pada 17
September 2007 yang disampaikannya telah menghuraikan konsep Syukur dengan amat
baik. Huraian seperti inilah, mungkin, yang sangat perlu didengari dan difahami
oleh segenap lapisan
masyarakat agar kalimah ‘syukur’ yang sering kita dengar dapat difahami
dengan maksud dan tuntutannya yang hakiki.
Apabila membicarakan bab syukur, pastinya
kita akan terkenang untaian agung sepotong ayat suci Al-Qur’an yang lebih
kurang maksudnya: “Dan (ingatlah juga),
tatkala Tuhanmu memaklumkan: ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan
menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka
sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.’” (Surah Ibrahim, ayat
ke-7)
Ayat tersebut memberikan satu mesej yang
cukup jelas, yakni apabila kita bersyukur dengan pemberian Allah pastinya Allah
akan menambahkan lagi kenikmatan kepada kita, lalu berbahagialah hidup
kita. Namun, seandainya kita mengkufuri nikmat Allah yakni dengan cara
tidak mensyukurinya atau menyalahgunakannya, maka pastinya kita akan mendapat pembalasan
yang berat dan pedih daripada Allah. Mungkin sahaja pada hari ini kita melihat
ramai orang yang mengucapkan lafaz syukur tetapi kehidupannya masih juga
tidak bahagia, rezeki datang dan pergi. Ada juga orang yang
mengucapkan lafaz syukur, hidup mewah dengan harta, tetapi masih tidak
berakhlak dengan perilaku dan sifat sebenar seorang Muslim. Akhirnya, ia juga
akan mendapat balasan daripada Allah.
Atas sebab itu, konsep syukur yang
sebenarnya harus kita fahami dengan jelas. Imam Ghazali, menerusi karya
tersohornya – Ihya Ulumuddin – menyatakan bahawa syukur itu harus ada tiga
elemen. Elemen pertama adalah ilmu, elemen kedua adalah perasaan dan elemen
ketiga adalah amal.
Untuk seseorang itu benar-benar bersyukur,
perkara pertama yang perlu ada adalah ilmu. Ilmu yang perlu ada itu terbahagi
pula kepada tiga. Pertamanya, seseorang itu perlu ada ilmu tentang nikmat itu
sendiri. Hakikat tentang nikmat itu perlu diketahui. Ilmu tentang nikmat ini
akan membolehkan seseorang untuk memahami nilai nikmat tersebut dan seterusnya
menghargai nikmat itu.
Seterusnya, seseorang itu perlu ada ilmu
tentang siapa yang memberi nikmat. Dalam soal ini, pastinya Yang Maha Memberi
Rezeki, Yang Maha Pemurah, adalah Allah Subhanahu wa Ta’ala. Seseorang itu perlu mempunyai ilmu Tauhid
yang kukuh. Dengan mengenali Allah, seseorang itu akan memahami bahawa setiap
sesuatu itu datangnya daripada Allah, dan adalah merupakan hak milik Allah
semata-mata. Setiap satu kejadian itu adalah datangnya daripada Allah. Justeru,
setiap nikmat dan rezeki itu datangnya daripada Allah, walaupun mungkin nikmat
itu disampaikan melalui perantaraan makhluk-Nya.
Ketiga, seseorang itu perlu ada ilmu
tentang siapa yang mendapat nikmat tersebut. Dalam konteks ini, yang menerima
nikmat adalah diri kita sendiri sebagai hamba Allah. Memahami hakikat bahawa
kita ini adalah hamba dan makhluk Allah, kita pasti akan merasa hina dan sangat
rendah di hadapan Allah.
Elemen yang kedua untuk bersyukur pula
adalah perasaan. Apabila menerima sesuatu nikmat itu, seseorang itu haruslah
mempunyai perasaan seronok, perasaan berbahagia. Bagaimana mungkin seseorang
itu hendak bersyukur seandainya ia tidak mengalami apa-apa rasa apabila
menerima sesuatu nikmat itu? Perlu difahami juga bahawa perasaan seronok dan
gembira ini bukan berpusat kepada seronok atas nikmat yang diperolehi, tetapi
lebih kepada perasaan seronok dan gembira kerana mendapat satu nikmat daripada
Tuhan Yang Maha Agung! Perasaan ini hanya mungkin timbul apabila ilmu tentang
tiga perkara yang disebutkan tadi telah dimiliki.
Yang terakhir, elemen ketiga dalam
bersyukur pula adalah amal, yakni perbuatan. Setelah seseorang itu mempunyai
ilmu dan kefahaman tentang perkara yang disebutkan tadi, seterusnya mengalami
perasaan seronok, gembira dan berterima kasih itu, syukur tersebut perlulah
dimanifestasikan melalui perbuatan. Dalam hal ini, seseorang itu perlulah
menggunakan nikmat yang telah diperolehinya itu untuk mendekatkan dirinya
dengan Allah, yakni zat yang telah memberikan nikmat tersebut.
Bagi memahami adunan elemen-elemen dalam
syukur ini, Imam Ghazali telah turut memberikan satu analogi. Bagaimanapun,
analogi yang diceritakan seterusnya ini telah digubah agar sesuai dengan
pemahaman masyarakat masa kini.
Analogi rasa syukur itu begini; bayangkan
kita sebagai rakyat Malaysia, tiba-tiba mendapat hadiah sebuah kereta BMW
daripada Perdana Menteri Malaysia. Sekarang perhatikan, seseorang yang
mendapat hadiah tersebut pastinya tidak akan dapat berterima kasih dan
bersyukur kepada Perdana Menteri itu seandainya ia tidak mengetahui nilai BMW.
Seandainya seseorang itu tidak mengetahui bahawa BMW itu adalah sebuah kereta
yang mahal dan ternama, pastinya ia tidak akan menganggap pemberian itu sebagai
sesuatu yang sangat istimewa. Kemudian, pastinya seseorang itu juga tidak akan
dapat berterima kasih dengan sehebatnya seandainya ia tidak mengenali bahawa
yang memberikan kereta itu adalah Perdana Menteri Malaysia. Ia juga
mungkin tidak mampu untuk berterima kasih seandainya ia tidak mengenali dan
menyedari bahawa dirinya cuma seorang rakyat biasa yang berdepan dengan
pemimpin nombor satu negara. Namun, apabila ia menyedari ketiga-tiga
perkara tersebut, maka pastinya ia akan mempunyai perasaan yang sangat-sangat
gembira. Ia pasti akan memuji-muji Perdana Menteri itu. Seterusnya, ia pasti
akan menggunakan kereta yang telah diberikan itu dengan sebaiknya untuk terus
mendekati Perdana Menteri, mengucapkan terima kasih kepadanya dan
memuji-mujinya. Ia pasti tidak akan menggunakan kereta itu untuk perkara yang
dilarang oleh Perdana Menteri. Begitulah analogi rasa syukur yang sebenar.
Maka, tidak hairanlah pada hari ini jika
ramai di antara kita yang hanya sekadar melafazkan syukur di bibir, tetapi
tidak bersyukur dengan sebenar-benarnya. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang lebih kurang
maksudnya:
“Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mempunyai kurnia yang besar (yang diberikan-Nya) kepada manusia, tetapi kebanyakan mereka tidak mensyukuri(nya).”
(Surah An-Naml, ayat
ke-73)
Justeru, kesempatan berada di bulan
Ramadhan ini harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Manifestasikan rasa
syukur kerana dapat menjalani ibadah di bulan Ramadhan dengan menghidupkan
bulan ini dengan pesta ibadah. Seterusnya, manfaatkan bulan Ramadhan ini dengan
sebaik-baiknya untuk melatih nafsu. Setiap nikmat, rezeki, kegembiraan,
kebahagiaan dan kesenangan yang diperolehi haruslah dihargai dan disyukuri
dengan hakikat kesyukuran yang sebenarnya!
Maaf atas segala kesilapan.
by: Abdul Muntaqim bin Zulkipli