Pages

Monday 3 February 2014

10 perkara asas bagi penuntut ilmu (sekaligus pemburu buku)

Oleh : Saudari Najibah

Siaran IKIM petang semalam (19 Februari) yang ke udara bersama Dr. Farid Shahran, telah membuat kupasan terhadap sebuah buku berjudul Ta’lim al-muta’allim tariq al-ta’alum, oleh Burhan al-Din al-Zarnuji (hidup sekitar kurun 12 dan 13 Masihi). Inti yang dikupas adalah 10 perkara asas yang patut diketahui oleh penuntut ilmu sebelum menerjuni sesuatu bidang ilmu.

Di sini saya perturunkan lebih dulu 10 perkara itu, dengan contoh-contoh yang saya kembangkan menurut kefahaman sendiri dan bukan sepenuhnya daripada Dr. Farid Shahran (mohon ditegur sekiranya kurang tepat).
Menurut al-Zarnuji, penuntut ilmu wajar mengetahui:
1.      Nama ilmu yang dipelajari, contohnya apakah ilmu itu ilmu aqidah, tafsir, hadis, fiqh atau kimia, fizik, matematik, psikologi, dan sebagainya.
2.      Sumber ambilan, iaitu daripada mana ilmu itu berasal; dalam dunia moden hari ini merupakan rujukan, nota kaki, referensi atau bibliografi yang memberi penghormatan dan kejelasan mengenai sumber asal.
3.      Kandungan utama ilmu; iaitu subjek-subjek penting yang diperkatakan dalam pengajiannya
4.      Skop bahasan, mauduk atau perincian ilmu tersebut
5.      Faedah ilmu yang dipelajari
6.   Nisbah atau kedudukan ilmu itu berbanding ilmu lain (dalam bahasa ‘Arabnya Ihsa’ al-’Ulum); contohnya ilmu aqidah sudah semestinya lebih tinggi kedudukannya daripada ilmu geologi, namun tidak pula bererti ilmu geologi tidak penting
7.      Siapa yang menjadi pelopor, pemula, penyusun atau pengembang bidang ilmu tersebut
8.      Hukum belajar ilmu yang sedang dipelajari, sama ada fardu ‘ain atau fardu kifayah
9.      Fadilat atau kelebihan ilmu yang sedang dipelajari
10.  Kesudahan ilmu itu, sama ada untuk kepentingan dunia atau akhirat.

Saya terfikir betapa 10 perkara penting bagi penuntut ilmu itu, sangat-sangat sesuai juga diaplikasikan bagi para pencinta buku – dalam memburu buku-buku bacaan dan mentelaahnya.
Jika selama ini kita memilih buku-buku bacaan secara mengikut selera nafsu sahaja dan tidak terarah, mungkin sudah sampai waktunya untuk kita cuba mengaplikasikan 10 perkara asas di atas setiap kali ingin menambah buku baru ke rak peribadi.
Adakah sebuah buku yang kita tambahkan ke rak itu, kita sudah tahu nama bidang ilmu yang dibahasnya? Adakah kita pasti dengan kredibiliti sumber ambilan buku itu? Adakah perkara yang diperkatakan buku itu merupakan kandungan utama sesuatu bidang ilmu? Apakah faedah dan fadilatnya jika kita membaca buku itu nanti? Adakah intisari buku itu lebih penting daripada buku-buku lain yang sepatutnya lebih dahulu perlu kita baca, kaji atau telaah? Pengarang manakah yang mendahului dalam mengarang buku seumpama yang sedang kita mahu beli?
Semua soalan di atas dapat menjadi seperti satu senarai semak kepada kita setiap kali ingin membeli buku baru, secara tak langsung tentu akan dapat menambah kualiti buku-buku yang bakal menduduki rak buku kita. Dan jika dilihat dari segi kadar membeli buku berbanding membaca seperti yang tertera dalam perbincangan “Beli buku banyak banyak itu tandanya dia ulat buku. Betul ke bohong?” di Goodreads Malaysia (sebuah komuniti atau kelab buku Malaysia dalam talian, dengan lebih 1500 ahli setakat ini), mungkin senarai semak ini dapat menjadi pengekang kepada nafsu membeli pengumpul buku yang sentiasa membuak-buak (termasuk saya sendiri, tentunya).

Dr. Farid Shahran juga menyentuh betapa pentingnya untuk kita berusaha memperluas dan memperdalam ilmu sekaligus, bukan semata-mata bertumpu kepada bidang kita yang hakiki. Beliau memberi contoh bagaimana seseorang yang memasuki Islam dari pintu tasawuf semata-mata misalnya, boleh terkepung dek kejahilannya terhadap bidang lain seperti fiqh, hingga boleh timbul kesesatan. Tentunya kita pernah mendengar mengenai ketua ajaran sesat yang melepaskan dirinya dan pengikut daripada kewajiban ibadat solat sedangkan itu merupakan tiang agama.
Perluasan ilmu yang dikatakan Dr. Farid ini pastinya menuntut kita membaca dengan lebih meluas, lalu mencabar dan melepaskan diri dari keselesaan genre yang sudah sebati dengan kita. Ini senada dengan seruan SN Dato’ Anwar Ridhwan dalam akhbar Berita Harian pada 4 Februari 2013: Pandai memilih atau terkeweh: pilih buku haruslah berkualiti.

Praktis amalnya tentu tidak semudah menulis di blog mengenai hal ini. Tetapi sekurang-kurangnya ini mampu menguak sedikit kabus yang adakalanya bertindak bagaikan skrin yang menyekat fikiran dan mata kita daripada meneroka ruang yang lebih luas di hadapan.
Apapun, bagi sesiapa yang mencari buku ini dalam bahasa Inggeris, telah ada dua versi terjemah yang dapat saya kesan:
1.      Von Grunebaum, G.E. & Abel, Theodora M. (2003). Instruction of the student: the method of learning. USA: Starlatch Press.
2.      Mochtar, Affandi. (2009). The method of Muslim learning. New York: Global Scholarly Publications.

Bagi pelajar Universiti Islam Antarabangsa, kedua-dua versi terjemah ini serta buku asal dalam bahasa Arab boleh didapati di perpustakaan universiti. Malangnya dua kedai buku utama Malaysia iaitu MPH tidak memiliki judul ini dan Kinokuniya sudah habis stok.





Saturday 1 February 2014

Golongan Ahlusunnah menurut Imam al-Baghdadi

Oleh DR. ASMADI MOHAMED NAIM 

SAYA membaca tulisan mengenai makna atau definisi Ahlu al-sunnah wal Jamaah (ASWJ) daripada seorang penulis mingguan pada pertengahan November 2009 lepas. Penulis mengutip definisi Ahlussunnah yang ditulis oleh Imam al-Baghdadi (wafat429H) dalam kitabnya, al-Farq Baina al-Firaq
Namun malangnya perkataan al-turuq al-sifatiah atau 'jalan-jalan sifat' dalam definisi tersebut diabaikan. Walhal, itulah antara perkara yang penting untuk menentukan sama ada tauhid yang mensyarahkan sifat-sifat 20 adalah sesuatu yang baru atau sememangnya sudah lama. 

Pada saya, ada sedikit masalah 'ketidakjujuran ilmu', bila dia tidak menerangkan secukupnya maksud al-Baghdadi apabila mensyarahkan pengertian ASWJ.

Demikian juga, ada sebuah lagi penulisan yang menceritakan aliran pemikiran tauhid di Nusantara, yang merujuk bahawa aliran yang mensyarahkan Sifat 20 hanyalah muncul selepas tahun 1,000 Hijrah melalui Imam Sanusi dengan kitabnya Umm al-Barahin

Penulis tidak merujuk kemunculan metod tersebut kepada penyusunnya yang sebenar iaitu Abu Hassan al-Asy'ari (wafat324H) yang muncul pada akhir kurun ke 3 Hijrah. Ini masalah 'sikap amanah' dalam penulisan.

Dalam kesempatan ini, saya hanya mahu menjelaskan siapakah Ahlussunnah menurut penulisan Imam al-Baghdadi yang telah menjadi rujukan definisi ASWJ supaya pembaca dapat memahaminya secara jelas. 

Beliau menyatakan (hal.19): "Maka golongan yang ke 73 ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu golongan ahl al-ra'y (Ibu Hanifah dan murid-muridnya) dan ahlu al-hadis; bukan mereka yang mempermain-mainkan hadis; dan ulama fikah mereka, penghafal al-Quran mereka, perawi hadis daripada mereka, dan ulama hadis di kalangan mereka, semuanya sepakat atas keesaan Pencipta, keesaan sifat-sifat-Nya, keadilan-Nya, hikmah-Nya dan nama-nama-Nya dan pada bab kenabian dan kepimpinan, hukum hudud dan pada perkara usuluddin." 

Seterusnya, Imam al-Baghdadi Rahimahullah memperincikan lapan golongan yang termasuk dalam Ahlusunnah wal Jamaah (lihat bukunya dari halaman 240-243):

Golongan pertama, mereka yang menguasai ilmu khususnya dalam bab Tauhid (meng-esa-kan Allah) dan kenabian, hukum-hukum wa'ad (khabar gembira) dan wa'id (ancaman seksa), pahala dan balasan, syarat-syarat ijtihad, pemerintahan dan kepimpinan. Mereka yang melalui jalan ini ialah ulama Kalam (Tauhid) yang bebas dari fahaman tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk) dan bebas daripada fahaman ta'til (yang menafikan sifat-sifat yang Azali bagi Allah SWT), dan bebas daripada bidaah al-Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najariah dan seluruh pengikut bidaah dan hawa nafsu. 

Golongan kedua ialah imam-imam fiqh sama ada kumpulan yang cenderung pada rakyun (dalil aqal) atau hadis. Iaitu mereka yang beriktikad (berkeyakinan) pada perkara usuluddin dengan mazhab-mazhab sifat pada Allah dan pada sifat-sifatnya yang azali (membicarakan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana sifat 20), dan mereka bebas daripada fahaman Qadariah dan Muktazilah; mereka menetapkan melihat Allah Taala dengan mata (di akhirat kelak) dengan mata tanpa tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), tanpa ta'til' (menafikan sifat-sifat Allah). Termasuk dalam golongan ini ialah murid-murid kepada Malik, al-Shafie, al-Auza'i, al-Thauri, Abu hanifah, Ibn Abu Laila (wafat148H), sahabat-sahabat Abu Thaur (wafat240H), sahabat-sahabat Ahmad bin Hanbal (wafat241H), ahli al-Zahir, keseluruhan ulama fiqh yang beriktikad dalam bab-bab akal ini dengan prinsip-prinsip Sifat (tauhid yang membahaskan Sifat-sifat Allah). Dan mereka tidak mencampurkannya dengan apa-apa daripada ahli bidaah dan hawa nafsu.

Golongan ketiga ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan periwayatan hadis dan sunnah yang disampaikan oleh Nabi SAW, mereka berupaya membezakan antara sahih dan cacat antaranya, mengetahui sebab-sebab al-jarh wa al-ta'dil (kredibiliti seorang rawi) dan mereka tidak memasukkan ilmu mereka dengan apa-apa daripada ahli bidaah dan nafsu yang menyesatkan. 

Golongan keempat ialah kaum yang menguasai kebanyakan topik-topik sastera Arab, nahu dan saraf. Mereka berada atas jalan pakar bahasa seperti al-Khalil (wafat175H), Abu 'Amr bin al-'Ala (wafat 145), Sibawaih (wafat 180H), al-Farra' (wafat 207H), al-Akhfash (wafat 215H), al-Asma'i, al-Mazini (wafat 236H), Abu Ubaid (wafat 224H) dan seluruh imam-imam Nahu sama ada ulama-ulama Kufah atau Basrah, yang mana mereka tidak mencampurkan ilmu mereka dengan sesuatu daripada bidaah al-Qadariah, atau Rafidhah atau Khawarij.Maka sekiranya seseorang itu cenderung ke arah nafsu yang menyesatkan, maka bukanlah ia daripada golongan Ahlussunnah walaupun kata-katanya adalah 'hujah' dalam ilmu bahasa dan Nahu. 

Golongan kelima, antaranya ialah mereka yang menguasai ilmu yang berkaitan dengan jenis-jenis qiraat untuk al-Quran dan jenis-jenis tafsiran al-Quran, penakwilannya berdasarkan mazhab-mazhab Ahlussunnah, tanpa berpegang dengan takwilan ahli nafsu yang sesat. 

Golongan keenam ialah, antaranya ialah para ahli zuhud sufi yang mempunyai ilmu maka jauh pandangan, yang telah dinilai maka ia diiktibarkan, mereka reda dengan hidup yang ringkas, mereka mengetahui bahawa penglihatan, pendengaran dan hati dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan kejahatan; menghisab dengan neraca zarah-zarah, justeru menyediakan diri mereka dengan sebaik-baik persiapan untuk hari Kiamat. Perkataan mereka berjalan di atas dua jalan iaitu secara jelas dan isyarat di atas jalan ahli hadis, tanpa mereka 'membeli' pandangan yang mempermainkan hadis. Mereka tidak melakukan kebaikan kerana riak, tidak pula meninggalkan kebaikan kerana malu kepada orang lain. Agama mereka hanya satu dan menafikan pentasybihan (menyerupakan Allah dengan makhluk), mazhab mereka ialah tafwidh (menyerahkannya) kepada Allah SWT, bertawakal kepada-Nya, penyerahan kepada-Nya, tenang dengan apa yang direzekikan-Nya. 

Golongan ketujuh ialah, antaranya kaum yang terikat dengan barisan hadapan peperangan dengan orang-orang kafir, berjihad melawan musuh-musuh Islam, mereka menjadi benteng melindungi umat Islam, meninggalkan isteri-isteri mereka dan negara mereka dan menzahirkan pada barisan hadapan mereka Mazhab ASWJ. 

Golongan kelapan ialah, antaranya kebanyakan negara-negara yang secara kebiasaannya terdapat syiar ASWJ, bukannya negara yang menzahirkan syiar ahli hawa-nafsu yang sesat. 
Itulah huraian sebenar al-Imam Abdul Qahir bin Tohir bin Muhammad al-Baghdadi. Rupanya, ramai sebenarnya yang diiktiraf sebagai Ahlussunnah. Ia berbeza dengan pandangan yang meminoritikan dan mengeksklusifkan ASWJ hanya untuk golongannya sahaja, dengan tuduhan sesat dan bidaah pada perkara remeh-temeh seperti qunut, talkin, zikir selepas solat, berdoa beramai-ramai dan sebagainya.
Lihat kata Imam al-Baghdadi tentang perkara-perkara cabang (hal. 19): "Mereka (ASWJ) hanya khilaf mengenai halal dan haram pada cabang hukum, bukanlah khilaf tersebut mengundang kepada sesat dan fasik; mereka adalah puak yang terselamat, kerana mereka bersatu pada keesaan Pencipta dan qidam-Nya, qidam segala sifatnya sejak azali, dan harus melihat-Nya tanpa sebarang perumpamaan dan gangguan, serta yakin terhadap isi kandungan kitab-Nya dan rasul-Nya, dan mengikut segala syariat Islam dan menghalalkan segala yang dihalalkan oleh al-Quran, dan mengharamkan segala yang diharam oleh al-Quran serta menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan beriman pada hari kebangkitan dan perhitungan, dan soal dua Malaikat dalam kubur, beriman dengan telaga Kauthar dan Timbangan.

Semoga masyarakat Islam tidak terbelenggu dengan perpecahan yang lebih parah, lantaran perkara-perkara tersebut. 

Banyak masa yang perlu digunakan untuk memperbetulkan generasi muda yang menyongsang arus dengan pelbagai gejala sosial. 

Wallahu a'lam.