Pages

Thursday 31 October 2013

Amanat dan Harapan

** DEDIKASI ISTIMEWA BUAT SAHABAT-SAHABAT BADAN DAKWAH DAN ROHANI IPGKBL… ARTIKEL INI SEMPENA DENGAN WATIKAH PELANTIKAN PIMPINAN BARU BADAR SESI 2014-2016.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Dengan nama Allah, Tuhan Pentadbir tujuh petala langit, Pentadbir tujuh petala bumi dan Tuhan Pentadbir ‘Arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, Nabi Muhammad, pembuka bagi sesuatu yang terkunci, penyudah segala nabi yang terdahulu, pembela kebenaran dengan kebenaran dan petunjuk ke jalan-Mu yang lurus. Limpahkanlah juga rahmat ke atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya dengan kurniaan yang layak dengan kadar dan darjatnya yang agung.

Muqadimah.

Pertama dan selamanya marilah kita mengucapkan rasa syukur ke Hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kasih sayangnya Watikah Pelantikan Pimpinan  BADAR sesi 2014-2016 telah diadakan dalam suasana yang sederhana tetapi membawa erti yang sangat besar. Terlebih dahulu, sebagai Pengerusi yang baru, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli Badan dakwah dan Rohani IPKBL yang telah meletakkan kepercayaan mereka kepada saya dan rakan-rakan Ahli majlis tertinggi untuk menerajui pimpinan 2014-2016. Secara jujurnya, ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang besar. Sempena dengan pelantikan ini, sedikit amanat dan harapan buat teman-teman yang berada dalam BADAR ini sebagai satu renungan kita bersama.

 Sahabat-sahabat sekalian,

Memahami Pandangan hidup Islam tentang Manusia.

Pertamanya marilah kita berbalik kepada pandangan hidup Islam yang benar dalam melihat kehidupan kita di dunia yang serba singkat ini. Hal ini penting dalam rangka kita melihat perjuangan kita dalam BADAR ini dengan neraca timbangan Islam supaya kita tidak lari dari mesej sebenar kita diciptakan.

Beberapa firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam kitab suci Al-Qur’an memberikan kita mesej yang jelas tentang pandangan hidup Islam;

Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.” (Adz-Dzaariyat: 56)

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’…” (Al-Baqarah: 30)

Yang menjadikan kematian dan kehidupan untuk menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya.” (Al-Mulk: 2)

Kamu (umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang diturunkan kepada manusia, kamu menyeru kepada kebaikan, mencegah daripada kemungkaran, dan kamu beriman kepada Allah” (Ali ‘Imran: 110)

Beberapa firman Allah Subhanahu wa Ta’ala ini merupakan asas dalam melihat kehidupan kita sebagai seorang manusia. Kita diciptakan bukan untuk sia-sia tetapi kita diciptakan dengan tujuannya. Maka, dalam gerakan BADAR ini, hendaklah kita melihat bahawa ianya sebagai satu wadah untuk kita mengabdikan diri kepada Allah. Inilah tujuan utama dan paling asas dalam gerakan BADAR ini. Walaupun tidak dinafikan, mungkin ada yang berfikiran bahawa memasuki BADAR ini untuk menimba ilmu, belajar cara memimpin, melaksanakan program-program islami dan meningkatkan ukhuwah. Hal ini tidak salah tetapi bukanlah satu tujuan asas kita. Seringkali kita mendengar mereka yang menginginkan belajar untuk menjadi pemimpin tersungkur  kerana tidak dapat menahan beratnya menjadi pemimpin. Seringkali juga ada yang bersemangat membuat aktiviti islami tetapi putus asa kerana program yang dijalankan tidak mendapat sambutan. Hal ini terjadi kerana kita tidak melihat bahawa perjuangan tersebut sebagai satu ubudiyah atau ibadat kepada Allah swt.

Manusia juga diciptakan untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. Khalifahlah yang akan mentadbir bumi ini dengan pentadbiran yang diredhai oleh Allah swt. Dalam hal ini, kita perlulah mempunyai satu model dan panduan supaya kita tidak lari daripada tujuan khalifah Allah ini. Maka, panduan dan model kita yang paling agung ialah saidina Rasulullah saw. Bagindalah merupakan contoh yang terbaik dalam segala aspek kehidupan kita di dunia ini. Jadikanlah segenap kehidupan baginda sebagai satu panduan dalam perjalanan kita menuju Allah swt.

Sahabat-sahabat sekalian.

Setiap daripada kita adalah pemimpin. Pemimpin akan ditanya tentang pimpinannya. Satu perkara penting yang perlu diambil berat oleh kita sebagai pemimpin ialah bagaimana seorang pemimpin itu tidak dapat dipisahkan dengan ilmu. Dalam tradisi keilmuan islam, banyak kitab para ulama yang menghuraikan betapa eratnya pertautan ilmu dengan pemimpin. Maka, setiap daripada kita ialah pemimpin perlulah berbalik kepada ilmu. Jadikanlah kita sebagai seorang yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan menuntut ilmu. Tuntutlah ilmu yang dapat meningkatkan kualiti taqwa kita kepada Allah swt.  Pemimpin yang benar bukan pandainya berkata-berkata, bukannya hebat dalam pentadbiran semata-mata, tetapi pemimpin yang benar ialah mereka yang dalam kalbunya terpancar sinar ilmu yang menghasilkan adab iaitu meletakkan sesuatu perkara ditempat yang betul dan selayaknya bagi sesuatu itu. Pemimpin yang benar ialah mereka yang dapat membuat keputusan dengan berpandukan ilmu dan bukannya berasaskan sentimen emosi. llmulah yang akan memberikan makna kepada manusia dan ilmulah yang akan memberikan makna kepada pemimpin.

Dalam perjalanan perjuangan kita dalam Badar ini, janganlah pernah kita berputus asa dan rasa tidak bersemangat apabila apa yang kita buat tidak dipandang oleh masyarakat dan tidak diiktiraf oleh masyarakat. Walaupun, ada yang mengejek, memulaukan, dan memperlekehkan kita tatkala kita melaksanakan program islami ini, tetapi ingatlah bahawa Allah memandang apa yang kita lakukan walaupun sekecil zarah. Pernah satu kisah yang diceritakan oleh guru saya iaitu Dr. Mohd Farid Shahran (ahli panel Fatwa kebangsaan dan felo penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia) berkenaan dengan seorang guru muda yang berasa terkilan dan sedih kerana apa yang dilakukan beliau iaitu mengajar tidak dipandang oleh masyarakat. Guru muda inipun berjumpa dengan guru senior untuk meletak jawatan sebagai tenaga pengajar. Maka, guru senior ini pun memberikan nasihat bahawa, janganlah berputus asa wahai guru muda jika masyarakat tidak memandang apa yang engkau laksanakan sebagai satu perkara mulia, ingatlah bahawa keluarga engkau mengiktiraf akan kebaikkan yang engkau lakukan ini. Sekiranya keluarga engkaupun tidak mengiktiraf kebaikkan engkau, ingatlah bahawa diri engkau sendiri mengiktiraf apa yang engkau lakukan ini sesuatu yang baik. Jikapun semua masyarakat, keluarga termasuk diri engkau sendiripun tidak mengiktiraf apa yang engkau lakukan, ingatlah wahai guru muda, Tuhan mengiktiraf dan memandang apa yang engkau lakukan ini. Maka sahabat sekalian, janganlah berasa sedih jika program yang dijalankan tidak mendapat sambutan, janganlah sedih jika ramai yang berasa pelik dengan komitmen kita dalam perjuangan Badar ini dan jangnlah sedih jika sekalipun kita dimarahi dan diejek. Ingatlah bahawa, apa yang kita lakukan dalam menegakkan amar makruf nahi mungkar ini sentiasa dipandang dan diiktiraf oleh Allah swt.

Jadilah kita seperti burung kecil dalam kisah Nabi Ibrahim. Tatkala nabi Ibrahim ini dihumban ke dalam api yang besar, maka datanglah seeokor burung kecil yang hendak memadamkan api yang besar itu. Burung kecil tersebut mencari dan mengambil air dengan menggunakan paruhnya yang kecil untuk memadamkan api yang beribu kali ganda lebih besar daripada dirinya. Perbuatan burung kecil ini diejek dan ditertawakan oleh burung-burung yang lain dengan mengatakan bahawa manakan mungkin engkau yang kecil ini dapat memadamkan api yang besar. Maka dijawab burung kecil ini, walaupun aku tahu diriku kecil tetapi aku bertanggungjawab tatkala melihat nabi Allah dalam kesusahan. Paling tidakpun aku ada jawapan kepada Allah tentang usaha yang aku lakukan ini. Kisah inilah yang perlu kita ambil iktibar bahawa, sebagai seorang islam, kita bertanggungjawab dalam amar makruf nahi mungkar.

Sahabat-sahabat sekalian,

Perkara yang perlu kita perbaiki ialah niat kita dalam melaksanakan program-program islami di IPGKBL. Perbetulkan niat kita untuk melakukan semua itu hanya kerana Allah swt sesuai dengan tujuan utama kita diciptakan iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Seterusnya, dalam menggerakkan Badar ini, kita tidak dapat menggerakkannya seorang diri. Kita sangat memerlukan rakan-rakan seperjuangan dalam proses perjuangan ini. Justeru, pereratkan ukhuwah sesama kita atas dasar satu akidah. Selidikilah bagaimana Rasulullah saw apabila berkawan dan bersahabat.  Jangan pernah kita menghiris tautan ukhuwah di antara kita kerana perbuatan tersebut merupakan sikap zalim. Elakkan daripada membanding-bandingkan kesungguhan kita dengan kesungguhan sahabat yang lain kerana ia akan mengundang keresahan dan kesedihan sahabat kita. Rasulullah pernah bersabda “ orang yang berkasih sayang, sentiasa disayangi oleh Allah, maka hendaklah kamu menyayangi penduduk bumi, insyaallah kamu akan dikasihi oleh penduduk langit”.

Sahabat-sahabat sekalian,

Dalam perjuangan Badar ini, manfaatkanlah mereka-mereka yang berpengalaman dalam melaksanakan program. Bertanyalah kepada mereka yang arif supaya jalan kita sentiasa terang. Insafilah pepatah melayu iaitu:

Kalau nak tahu dalamnya paya,
Tanyalah kepada puyuh.
Kalau nak tahu lebarnya rimba,
Tanyalah kepada denak.
Kalau nak tahu luasnya padang,
Tanyalah kepada belalang.
Kalau nak tahu panjangnya tanjung,
Tanyalah kepada bebarau.

Sampai disini saja amanat dan harapan buat teman-teman sekalian. Mudah-mudahan kita mengambil manfaat di atas penulisan yang tidak seberapa ini. Saya bukanlah yang arif dalam segala hal, tetapi penulisan ini bertujuan untuk kita sama-sama menginsafi akan perjuangan ini. Dan, saya memohon kepada Allah swt semoga penulisan ini menjadi satu bentuk ubudiyyah kepada Allah swt. Mohon maaf sekiranya terdapat kekurangan dan kelemahan.

Allah Jua Yang Maha Mengetahui.

oleh : Hamzah bin Masleh.

Sunday 13 October 2013

Ada apa dengan bahasa Melayu?

Pepatah melayu ada  menyebutkan “ masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak”. Sekali dengar, seolah-seolah maksud pepatah ini sama dengan pepatah rom iaitu “ when in rome, you do as romans do” yang bermaksud apabila kita pergi ke suatu tempat tersebut, maka kita perlu menjadi, melakukan, membuat seperti yang berlaku di tempat yang dituju tersebut. Walaupun seolah-olah sama, tetapi sebenarnya pepatah melayu itu berbeza dengan pepatah inggeris tersebut. Apa yang cuba disampaikan melalui pepatah melayu tersebut, bukanlah kita menjadi kambing atau lembu tetapi sebenarnya satu saranan bahawa apabila ke suatu tempat itu, maka bahasa mereka perlu kita kuasai supaya kita dapat mempengaruhi mereka. Itulah makna sebenar pepatah ini yang kini semakin disalah ertikan.

Pepatah ini mungkin asalnya daripada pemikiran Islam, kerana sememangnya dalam tradisi keilmuan islam, bahasa merupakan satu keutamaan. Sebab itu, apabila Islam datang ke mana-mana sahaja, maka kita akan temui bahawa bahasa di tempat yang dituju akan maju dan mengalami peningkatan kualiti.

Melihat bahawa, dalam dunia melayu bahasa merupakan suatu elemen yang penting dalam penyatuan bangsa, maka perlu difikirkan oleh masyarakat tentang agenda untuk memberikan kefahaman yang tepat akan kedudukan bahasa melayu. Mungkin soalan-soalan mengapa para pemimpin dan ilmuwan terdahulu sangat memperjuangkan bahasa melayu sebagai pengantar dalam segenap aspek terutamanya pendidikan  perlu dijawab dengan tepat.

Menerusi penelitian Prof. Syed Naquib Al-Attas, terdapat empat elemen yang dapat menghasilkan kesatuan dan perpaduan iaitu agama, bangsa, sejarah politik, dan  bahasa. Beliau menyatakan bahawa kesepaduan tiga atau semua daripada empat elemen tersebut mampu menghasilkan perpaduan cecair. Perpaduan cecair seperti yang terangkan oleh Prof Al-Attas dianalogikan seperti tiga batang besi yang diikat dengan menggunakan dawai besi. Selepas itu, ketiga-tiga besi yang diikat kemas dipanaskan untuk menjadi cecair dan apabila kering, cecair besi tersebut akan membentuk suatu yang lain . maka, untuk meleburkan cecair yang sudah kering itu, perlulah menggunakan suhu yang tinggi. Perpaduan cecair sangat teguh seperti cecair besi yang dipanaskan menjadi bentuk yang baru yang lebih kukuh. Justeru, perlulah ada elemen yang berfungsi seperti ‘panas (haba)’ untuk membentuk kesatuan yang kukuh dalam sesebuah Negara.

Contoh yang sesuai tentang kesatuan empat elemen utama ini seperti kesatuan arab. walaupun mereka berbeza agama (ada kristian, Islam, Yahudi), tetapi kesatuan mereka tetap utuh kerana mereka berkongsi bangsa yang sama iaitu bangsa arab, berkongsi sejarah politik yang sama dan berkongsi bahasa yang sama iaitu bahasa Arab.

Begitu juga dengan Negara switzerland. Mereka berkongsi agama yang sama iaitu agama kristian, identiti bangsa yang sama dan sejarah politik yang sama. Bahasa tidak diambil kira kerana di switzerland, mereka mempunya empat bahasa yang digunakan secara meluas iaitu bahasa Jerman, perancis, roman dan Itali.

Dalam kes Malaysia, kita mengalami suasana yang unik. Terdapat beberapa agama yang dianuti oleh masyarakat iaitu Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain. Begitu juga identiti bangsa. Malaysia memang dikenali sebagai Negara yang multietnik yang mempunyai perlbagai identiti bangsa. Di Sarawak sahaja sudah mempunyai 20 lebih identiti bangsa. Elemen sejarah politik juga berbeza kerana orang cina asalnya dari china. Justeru suasana politik china dengan Malaysia mempunya perbezaan. Begitu juga dengan masyarakat india. Mereka asalnya dari India dan mempunyai sejarah politik yang tidak sama. Ketiga-tiga elemen tadi tidak dikongsi bersama dan tidak dijadikan asas kepada penyatuan di Malaysia. Maka, elemen terakhirlah yang perlu kita ambil iaitu kesatuan atas dasar bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu. Sebab itulah mengapa pada hari ini, kita perlu memartabatkan bahasa melayu kerana bahasa melayulah yang akan menyatukan kepelbagaian di Malaysia.

Sesuatu bentuk pemikiran akan diterjemahkan melalui bahasa. Perubahan dalam bahasa terutamanya makna sememangnya menandakan perubahan sesuatu bentuk pemikiran. Di alam melayu, pemikiran bangsa melayu memang sudah mencapai satu peradaban yang luhur dan tinggi. Hal ini dibuktikan melalui perbendaharaan katanya dan fungsinya sebagai pengantar bagi segala bidang. Bahasa melayu itu juga sudah mempunyai tata nilai masyarakat yang halus. Malah, makna-makna tentang konsep asasi suatu kesatuan seperti bangsa dan semangat kebangsaan sememangnya sudah berakar umbi dalam nadi bahasa Melayu. Justeru, memartabatkan bahasa Melayu sebenarnya langkah untuk mempertahankan dan meningkatkan kualiti pemikiran bangsa melayu itu sendiri.

Dengan kesedaran tersebut, apabila kita menyoal perkara yang berkaitan dengan perpaduan atau kesatuan, maka perlulah kita meneliti dengan tepat maknanya. Bukannya kita mengambil secara semborono makna daripada pemikiran lain lalu memaknakan sesuatu itu mengikut aliran pandangan alam yang lain.

Suatu langkah yang bijak apabila para pemimpin dan ilmuwan dahulu sangat memperjuangkan bahasa melayu yang akhirnya banyak dasar-dasar pendidikan mengambil kira bahasa melayu. Mungkin ada pihak yang menyatakan bahawa penggunaan bahasa Melayu sebagai satu sikap bias. Tetapi sebenarnya tanggapan itu hanyalah retorik belaka. Bukanlah maksudnya berat sebelah dengan bahasa lain tetapi kita memerlukan perkongsian bahasa untuk penyatuan. Mereka yang menentang usaha ini sebenarnya cuba untuk memusnahkan perpaduan walaupun tanpa disedari mereka sendiri.

Masyarakat Malaysia sememangnya perlu difahamkan tentang letak duduk yang tepat bagi bahasa Melayu. Hal ini penting supaya masyarakat Malaysia tidak hilang identitinya. Apatah sekarang ini, bahasa Inggeris dipandang sebagai bahasa yang moden dan penting. Kepentingan bahasa inggeris memang tidak kita nafikan. Bukanlah kita melihat bahasa Inggeris itu sebagai pesaing bagi bahasa Melayu. Tetapi, bahasa inggeris itu perlu diletakkan dikedudukan yang tepat. Begitu juga dengan bahasa Melayu yang mempunyai kedudukan yang selayaknya. Itulah yang dimaksudkan dengan adil. Kita meletakkan sesuatu itu pada kedudukan yang selayaknya bagi sesuatu itu. Meletakkan kepentingan bahasa inggeris melebihi bahasa melayu sehingga terhakis adalah sikap zalim terhadap bahasa.


Setakat ini sahaja perkongsian tentang bahasa Melayu ini. Penulisan ini atas dasar kesedaran bahawa bahasa Melayu perlu kita martabatkan daripada peringkat peribadi mahupun sampai peringkat yang lebih penting iaitu dasar. Kita tidak mahu kesatuan yang terbina melalui bahasa melayu ini diruntuhkan oleh mereka yang tidak bertanggunjawab. Penat dan lelah para pemimpin dan ilmuwan dahulu mengerahkan tenaga dan melakukan mental exercise bagi meletakkan bahasa Malayu itu dikedudukan yang layak baginya. Tetapi kita dengan senangnya meruntuhkannya seperti anai-anai yang menghakis kayu secara perlahan-perlahan tanpa diketahui.