Pages

Saturday 21 January 2012

Mencintai yang Sepatutnya Dicintai.


Dengan nama Allah Subhanahu wa ta’ala yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah, Tuhan seluruh alam. Maha Suci Allah, Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Juga kepada ahli keluarga baginda yang mulia, serta kepada para sahabat baginda yang terpuji.

Alhamdulillah dan terima kasih kepada beberapa sahabat yang selama ini telah membawa saya untuk sentiasa berusaha mengerti maksud dan tujuan diri ini (insan) diciptakan ke bumi. Secara peribadinya, sebelum saya berjumpa dengan sahabat-sahabat yang telah memperkenalkan saya kepada tujuan kehidupan saya di dunia ini, kejahilan sangat menebal dalam diri saya. Tatkala saya berada dalam lapangan keilmuan, syukur sebab saya dapat berjumpa dengan ilmuan-ilmuan yang bagi saya telah mengubah pandangan hidup islam saya. Satu perkara yang selama ini amat saya kesali ialah dahulunya ketiadaan cinta kepada yang sepatutnya dicintai menyebabkan saya lalai dalam erti cinta tersebut. Sebenarnya, sebelum ini tidak terlintas difikiran saya bahawa siapa yang wajib dicintai dalam kehidupan ini. Akhirnya, setelah sekian lama berdamping dengan mereka-mereka yang mencintai kekasih Allah swt, saya ketahui siapa yang wajib dicintai dan dicontohi.

Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, rupa-rupanya inilah Kekasih Allah yang selalu bermain di bibir para sahabat saya yang mencintainya. Sungguh saya malu pada diri ini ekoran terlalu lama saya hidup di dunia ini, hanya sekarang baru saya mula mengorak langkah untuk jatuh cinta dengan Kekasih Allah ini. Saya tidak tahu bagaimana sekiranya, hari ini rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam berada di hadapan saya, apakah ayat yang sepatutnya yang saya lontarkan kepada baginda?  Sungguh, terasa malu yang teramat sangat. Sedangkan, baginda sallallahu ‘alayhi wasallam begitu mencintai umatnya, begitu sayang akan umatnya, sentiasa berdoa kepada Allah untuk keampunan umatnya, sanggup bersusah-payah demi umatnya, apakah masih lagi kita tidak mencintainya?

Tidak dapat saya gambarkan betapa kasihnya baginda sallallahu ‘alayhi wasallam kepada kita selaku umatnya, lantaran begitu banyak kasihnya. Walaupun terbitnya cinta sedikit dalam hati kita kepada baginda, masih tidak dapat menandingi kasih dan cintanya baginda kepada umatnya. Barulah saya sedar sekarang, betapa saya yang jahil ini hanya tahu solat, puasa, bersedekah dan sebagainya tapi tidak pula mencintai dan mencontohi rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang telah mengajar semuanya kepada kita selaku umatnya. Paling utama sekali, apakah pernah kita terfikir iman dan takwa yang ada pada kita sekarang ini, permulaannya dari mana? Sesungguhnya permulaan tersebut datangnya daripada rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Selaku umatnya, kita perlu sedaya upaya untuk mencintai baginda sallallahu ‘alayhi wasallam. Tidak sewajarnya jika perkara lain lebih kita cintai daripada baginda sallallahu ‘alayhi wasallam. Beberapa siri kuliyyah yang telah saya hadiri berkenaan baginda sallallahu ‘alayhi wasallam,  saya tersentak dengan kisah-kisah yang telah diceritakan kepada saya yang menunjukkan kemuliaan baginda sallallahu ‘alayhi wasallam. Antara yang perlu kita ambil pengajaran dan motivasi untuk kita, sewaktu saat-saat kewafatan baginda. Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam tatkala didatangi dan dikhabarkan oleh malaikat jibril perihal semua malaikat yang ada menunggu dan menyambut roh baginda, baginda tidak menampakkan muka yang gembira tetapi sebaliknya baginda sangat resah. Kerana apa, kerana memikirkan umatnya. Selagi mana umatnya tidak selamat, selagi itulah baginda tidak akan lega. Maka, tatkala malaikat jibril datang kepada rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam kali kedua dengan membawa berita gembira akan umatnya, barulah baginda lega dan gembira. Sungguh kasih ya rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam kepada kita selaku umatnya, seluruh kehidupannya didambarkan untuk umatnya, untuk kesejahteraan umatnya. Sepatutnya lontaran cinta yang tersangat-sangat ekstrimlah yang harus kita dambarkan kepada baginda. Sungguh sombong seseorang yang tidak mahu mencintai baginda. Jangan kita termasuk dalam golongan sombong ini.
Makalah ini hanyalah nukilan ringkas yang dapat saya utarakan, sebagai menyahut seruan cintailah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Saya bukanlah orang yang pakar untuk menukilkan perihal rasulullah, tetapi nukilan ini hanya untuk memberi sedikit kesedaran kepada kita untuk mencintai baginda. Ayuh kita sambut maulidurrasul yang akan datang, dengan penuh rasa cinta kepada baginda sallallahu ‘alayhi wasallam. Jadikanlah bulan rabiulawal ini sebagai bulan madu anda dengan rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam! 

Thursday 19 January 2012

Kekuatan Umat Pada Ilmu


Dengan nama Allah Subhanahu wa ta’ala yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah, Tuhan seluruh alam. Maha Suci Allah, Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Juga kepada ahli keluarga baginda yang mulia, serta kepada para sahabat baginda yang terpuji.

Dunia sekarang menyaksikan kepada kita betapa banyak kerosakan yang telah dilakukan manusia, yang menyebabkan banyak jiwa-jiwa menderita dan terkorban. Proses pembaratan pula yang giat dijalankan di negara kita semakin meningkat yang menyebabkan ada segelintir masyarakat islam negara kita terjebak dengan ansir-anasir daripada barat. Manusia, jika tidak disaluti dengan adab, akan sentiasa melakukan kerosakan dan kemaksiatan. Sebab itu Prof. Syed Naquib Al-Attas menulis buku lost of adab’ yang mengkisahkan bahawa masyarakat sekarang telah banyak kehilangan adab.

Dalam dunia islam, perlu kita ketahui bahawa satu perkara yang menjadi asas kepada pengukuhan jatidiri seorang muslim sejati adalah ilmu. Sejarah islam itu sendiri telah membuktikan kepada kita , sesungguhnya tamadun-tamadun islam bukanlah diukur melalui terdapatnya bangunan-bangunan yang tinggi dan canggih, tetapi tamadun islam dikenali melalui para ilmuan yang telah banyak mencurahkan idea-idea besar mereka dalam pembangunan manusia. Sebab itu Al Ghazali meenyatakan bahawa, melihat sesebuah tamadun yang moden dan berjaya bukan terletak pada bangunan-bangunan yang tinggi tetapi terletak pada banyaknya karya-karya besar yang dihasilkan. Kalau kita melihat sendiri sejarah, tamadun islam tidak banyak meninggalkan seni bina yang canggih tetapi telah meninggalkan kepada kita karya-karya yang besar dimana sehingga sekarang pun karya-karya tersebut masih digunakan.

Sebagai seorang muslim, perlu untuk kita sentiasa dalam setiap masa berada dalam lapangan keilmuan. Proses menuntut ilmu sememangnya sudah pun dinyatakan kepentingannya dalam Al-Quran sehinggakan ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam berkenaan dengan jalan mencari ilmu iaitu  membaca. Malah perkataan yang mempunyai kata teras  ilmu merupakan perkataan ketiga terbanyak dalam Al-Quran. Nah! Peri pentingnya ilmu itu sendiri sudah banyak dinyatakan dalam Al-Quran, dinyatakan oleh para  ilmuan islam dan para ulama. Tetapi sekarang seolah-olah terdapat segelintir masyarakat kita tidak mementingkan proses menuntut ilmu, yakni mereka lebih berminat dengan hiburan. Hal ini menunjukkan kebiadapan segelintir masyarakat yang lebih sukakan hiburan daripada berada dalam lapangan keilmuan. Hal ini, jika tidak dibendung akan menyebabkan kerosakan yang berterusan dan semakin teruk.

Maka itu, perlu untuk kita berbalik kepada prinsip-prinsip islam yang sebenarnya sangat mementingkan dan berbudaya ilmu. Perlu dingatkan bahawa sikap mementingkan dan berbudaya ilmu perlu ada dalam setiap muslim. Hal ini bagi menjadikan seseorang individu ataupun masyarakat , bukan sahaja boleh mengekalkan dan meningkatkan lagi kejayaan sedia ada, malah boleh memberikan keupayaan memulihkan diri dalam sebarang cabaran dan kerumitan.

Dalam lapangan keilmuan, sekiranya kita meyakini hal yang diterangkan; yakni ilmu sangat utama dan penting dalam islam, maka sebagai susulannya hendaklah kita berusaha memperolehinya. Walaubagaimanapun, sebelum kita bergerak mendapatkannya, perlu untuk kita mengetahui terlebih dahulu dengan betul –betul untuk mengenali makna ilmu agar kita tidak akan tersilap atau terkeliru sehingga menyangka apa yang bukan ilmu sebagai ilmu atau mengambil lawan ilmu sebagai teman pemandu hidup kita. Ringkasnya, perlunya kita tahu tentang tahu, atau berilmu tentang ilmu.

Segala masalah dalaman dan luaran umat islam di dunia ini sebenarnya mempunyai kaitan yang kuat dengan budaya ilmu yang keliru. Sekarang, ramai ahli-ahli politik, ahli akademik dan golongan-golongan  yang dikatakan berpendidikan tinggi, melakukan perkara-perkara yang sepatutnya tidak dilakukan seperti rasuah dan sebagainya. Golongan-golongan sepert ini sepatutnya menjadi contoh yang terbaik untuk masyarakat tetapi sebaliknya. Hal ini sebenarnya berpunca daripada satu iaitu budaya ilmu yang tidak sihat. Walaupun golongan-golongan ini berpendidikan tinggi, tetapi apa yang dipelajarinya jatuh hanya kepada maklumat tetapi tidak jatuh kepada ilmu kerana ilmu sebenarnya memberi makna kepada penuntutnya. Ringkasnya,  semua lapisan masyarakat jika tidak mempunyai sikap budaya ilmu yang jitu dan bersepadu hanya akan menghasilkan masyarakat yang‘separuh masak’. Justeru, perlu untuk kita membudayakan ilmu secara bersepadu dan jitu.

Allah Jua Maha Mengetahui!


Rujukan:

Al-Quran
Buku ‘Budaya Ilmu Satu Penjelasan’ karangan Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud.
Buku ‘Isu-Isu Dalam Pemikiran Islam’ karangan Dr. Mohd. Farid Shahran.

Artikel:
( Hakikat dan Sifat Ilmu) beberapa catatan utama – Dr. Mohd Zaidi b. Ismail.


Monday 16 January 2012

Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam Idola sepanjang zaman.


Dengan nama Allah Subhanahu wa ta’ala yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah, Tuhan seluruh alam. Maha Suci Allah, Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Juga kepada ahli keluarga baginda yang mulia, serta kepada para sahabat baginda yang terpuji.

Dalam kesempatan maulidurrasul yang akan datang, marilah kita bersama-sama untuk muhasabah diri sejauh mana kita mengenali manusia yang paling agung di alam semesta ini iaitu Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Sekiranya kita tidak mengenali Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, maka manakan mungkin kita akan mencintai Baginda. Sedangkan mencintai Baginda adalah suruhan Allah swt. Bagi sesiapa yang melihat Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam sebagai seorang manusia biasa, sesungguhnya mereka hanya menggunakan kacamata materialnya sahaja. Mereka memandang kekasih Allah itu hanya daripada segi biologinya, sedangkan menilai manusia dari segi biologinya adalah logik orang-orang kafir terdahulu, bukan cara pandang orang-orang beriman. Orang-orang beriman lebih fokus pada sisi rohaninya berbanding jasmani.

Nukilan ringkas ini bukanlah bertujuan untuk menghuraikan keseluruhan hakikat kemulian Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam kerana hal tersebut bukan kepakaran saya, disamping Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam terlalu banyak kemuliaan. Nukilan ringkas ini hanyalah untuk menekankan tentang hakikat keagungan  Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Al-Quran telah menceritakan kepada kita kemuliaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam tiada tolok bandingannya sehinggakan Allah swt dan para malaikat berselawat kepada Baginda.“sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat bagi Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah baginya dan ucapkanlah salam kepadanya...”. Diceritakan pula di alam roh, malaikat Jibril pernah bertanya kepada Allah tentang makhluk yang bernama Muhammad. Allah menjawab, “Demi seluruh kemegahan-Ku dan kemulian-Ku, wahai Jibril, baginda adalah manusia pilihanku daripada seluruh makhluk-Ku”. Jibril lalu berkata, “jadikanlah aku sebagai pembantu baginya, ya Rabb”. Melalui Al-Quran, Allah menjelaskan berkenaan diri baginda, “ Dan tidaklah Kami utus engkau (wahai Muhammad) kecuali sebagai rahmat bagi alam semesta”. Ayat Al-Quran di atas hanyalah sebahagian kecil sahaja dalil yang memberitahu kita betapa mulia Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Masih terlalu banyak lagi dalil yang menunjukkan kemuliaan Baginda.

Maka itu, maulidurrasul yang akan datang perlu kita sambut dengan penuh rasa kecintaan kepada Baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Tidak wajar sekiranya kita sentiasa melakukan ibadah tanpa disandarkan atas kecintaan kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam kerana segala ibadah yang kita lakukan adalah hasil daripada ajaran Baginda. Sebab itu syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al- Maliki pernah menasihati kami ketika majlis Kuching berselawat, jika sesiapa sahaja yang mengerjakan haji jangan lupa untuk menziarahi  Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam di Madinah kerana seandainya baginda tidak mengajarkan kepada kita bagaimana untuk mengerjakan haji, manakan mungkin kita dapat melaksanakan rukun islam yang kelima tersebut. Menjadi satu kebiadapan dalam tradisi keilmuan islam sekiranya kita tidak berterima kasih kepada guru yang mengajar kita. Sesungguhnya guru kita dalam segala ibadah adalah Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Sebab itu Imam syafie pernah bermadah; “jika tidak kerana Murabbiku, maka aku tidak akan mengenali Tuhanku”. Murabbi yang dimaksudkan oleh Imam Syafie adalah Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Nah! Lihat ungkapan Imam syafie yang menggambarkan bahawa sesungguhnya tanpa adanya Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, kita tidak akan dapat kenikmatan Iman dan taqwa. Sebab itu perlu kita melahirkan rasa kecintaan yang mendalam dan secara ekstrim terhadap Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam.

Mencontohi baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam merupakan perkara utama dalam kita menjalankan kehidupan seharian. Dalam Al-Quran Allah swt telah memuji akhlak baginda Rasululluh sallallahu ‘alayhi wasallam adalah akhlak yang agung. Ekoran itu, segenap aspek kehidupan kita perlu mencontohi Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam. Hakikatnya masyarakat sekarang lebih mengenali siapa artis berbanding mengenali Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Inilah menifestasi kebiadapan masyarakat yang telah mengakibatkan kerosakan dalaman umat islam. Lihat sahaja dunia zaman sekarang, terlalu banyak kemaksiatan telah berlaku. Banyak kerosakan yang mengakibatkan banyak jiwa-jiwa tersiksa. Ini disebabkan oleh terdapat manusia yang tidak menjadikan Rasululluh saw sebagai contoh dalam kehidupan. Dan sebaliknya, dunia akan aman jika semua manusia mencontohi Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam seperti yang pernah berlaku pada zaman khulafa Arasyidin ketika pemerintahan saidina Umar. Saidina Umar telah dilantik menjadi hakim, tetapi beliau meletak jawatan kerana ketika itu tiada satu pun kes yang dilaporkan. Ini disebabkan semua masyarakat ketika itu mencontohi Baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam!

Dari sudut yang lain pula, kita selalu diceritakan dan dikhabarkan oleh guru-guru dan ulama berkenaan perihal kecintaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam kepada umat. Terlalu banyak pertolongan yang telah Baginda curahkan kepada umatnya adalah untuk kesenangan mereka. Saat kewafatan baginda telah mencerminkan kepada kita, sesungguhnya Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sangat menyayangi umatnya iaitu kita. Baginda masih memikirkan keadaan umatnya dan memohon kepada Allah supaya kesakitan kematian semua umat Baginda disandarkan kepada Baginda tatkala saat kewafatan. Lihat! Begitu sayangnya dan cintanya baginda kepada umatnya. Tetapi haruskah kita sebagai umatnya pula tidak mengendahkan, mengenali, mencontohi dan mencintai Baginda  sedangkan kita belum dilahirkan ke bumi ini pun Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah mendoakan kebaikan untuk kita di dunia dan di akhirat kelak. Baginda sentiasa mendoakan untuk umatnya supaya mereka dalam keadaan yang baik. Hal ini terdapat dalam sebuah kitab yang mahsyur; kitab syamail Muhammadiyah karangan Imam Tirmizi iaitu perihal Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam berdoa untuk umatnya ketika berlakunya gerhana matahari pada suatu malam. Baginda mendirikan solat gerhana. Baginda berdiri lama dalam solatnya sehingga hampir tidak rukuk. Baginda rukuk begitu lama sehingga hampir tidak i’tidal. Baginda beri’tidal begitu lama sehingga hampir tidak sujud. Kemudian beliau sujud, sujudnya lama sehingga hampir tidak bangun. Apabila baginda bangun, baginda membaca doa dengan suara yang tersekat-sekat kerana menangis, “wahai Tuhanku, bukankah Engkau sudah berjanji tidak akan menyeksa mereka semasa aku masih berada bersama mereka? Wahai Tuhanku, bukankah Engkau sudah berjanji tidak menyeksa mereka yang memohon ampun kepada Mu? Sekarang kami sedang memohon ampun kepada-Mu”. Dalam kitab sohih Bukhari, terdapat satu hadis tentang keadaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam di alam kubur. Setiap amalan umat sebelum di angkat kepada Allah, ianya akan ditayangkan dahulu kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Sekiranya amalan umat tersebut adalah amalan yang baik, maka Baginda akan gembira. Tetapi sebaliknya jika amalan umatnya yang buruk ditayangkan kepada Baginda, Baginda akan berasa sedih dan lantas mendoakan keampunan kepada Allah untuk umat yang melakukan keburukan tersebut. Apakah masih kita tidak mahu mencintai Baginda?

Justeru, marilah kita bersama-sama untuk meningkatkan kecintaan kepada Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Dengan adanya perasaan cinta tersebut, mudah-mudahan kita dapat berjumpa dengan Baginda di akhirat kelak. Dan mudah-mudahan Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam mengenali kita sebagai umatnya kelak.

Allah jua Maha Mengetahui.


oleh: Hamzah bin Masleh

Rujukan:
Al-Quran.
Kitab ‘syamail Muhammadiyah’ karangan Imam Tirmizi
Buku ‘Uswatun Hasanah’ karangan Haddad Alwi.

Artikel:
(iktibar Isra’ dan Mikraj)-karangan Saudara Abdul Muntaqim bin Zulkifli.
(Dia ikutan kami)- saudari Syamsiah Mahli