Pages

Saturday, 21 January 2012

Mencintai yang Sepatutnya Dicintai.


Dengan nama Allah Subhanahu wa ta’ala yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah, Tuhan seluruh alam. Maha Suci Allah, Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Juga kepada ahli keluarga baginda yang mulia, serta kepada para sahabat baginda yang terpuji.

Alhamdulillah dan terima kasih kepada beberapa sahabat yang selama ini telah membawa saya untuk sentiasa berusaha mengerti maksud dan tujuan diri ini (insan) diciptakan ke bumi. Secara peribadinya, sebelum saya berjumpa dengan sahabat-sahabat yang telah memperkenalkan saya kepada tujuan kehidupan saya di dunia ini, kejahilan sangat menebal dalam diri saya. Tatkala saya berada dalam lapangan keilmuan, syukur sebab saya dapat berjumpa dengan ilmuan-ilmuan yang bagi saya telah mengubah pandangan hidup islam saya. Satu perkara yang selama ini amat saya kesali ialah dahulunya ketiadaan cinta kepada yang sepatutnya dicintai menyebabkan saya lalai dalam erti cinta tersebut. Sebenarnya, sebelum ini tidak terlintas difikiran saya bahawa siapa yang wajib dicintai dalam kehidupan ini. Akhirnya, setelah sekian lama berdamping dengan mereka-mereka yang mencintai kekasih Allah swt, saya ketahui siapa yang wajib dicintai dan dicontohi.

Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, rupa-rupanya inilah Kekasih Allah yang selalu bermain di bibir para sahabat saya yang mencintainya. Sungguh saya malu pada diri ini ekoran terlalu lama saya hidup di dunia ini, hanya sekarang baru saya mula mengorak langkah untuk jatuh cinta dengan Kekasih Allah ini. Saya tidak tahu bagaimana sekiranya, hari ini rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam berada di hadapan saya, apakah ayat yang sepatutnya yang saya lontarkan kepada baginda?  Sungguh, terasa malu yang teramat sangat. Sedangkan, baginda sallallahu ‘alayhi wasallam begitu mencintai umatnya, begitu sayang akan umatnya, sentiasa berdoa kepada Allah untuk keampunan umatnya, sanggup bersusah-payah demi umatnya, apakah masih lagi kita tidak mencintainya?

Tidak dapat saya gambarkan betapa kasihnya baginda sallallahu ‘alayhi wasallam kepada kita selaku umatnya, lantaran begitu banyak kasihnya. Walaupun terbitnya cinta sedikit dalam hati kita kepada baginda, masih tidak dapat menandingi kasih dan cintanya baginda kepada umatnya. Barulah saya sedar sekarang, betapa saya yang jahil ini hanya tahu solat, puasa, bersedekah dan sebagainya tapi tidak pula mencintai dan mencontohi rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang telah mengajar semuanya kepada kita selaku umatnya. Paling utama sekali, apakah pernah kita terfikir iman dan takwa yang ada pada kita sekarang ini, permulaannya dari mana? Sesungguhnya permulaan tersebut datangnya daripada rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Selaku umatnya, kita perlu sedaya upaya untuk mencintai baginda sallallahu ‘alayhi wasallam. Tidak sewajarnya jika perkara lain lebih kita cintai daripada baginda sallallahu ‘alayhi wasallam. Beberapa siri kuliyyah yang telah saya hadiri berkenaan baginda sallallahu ‘alayhi wasallam,  saya tersentak dengan kisah-kisah yang telah diceritakan kepada saya yang menunjukkan kemuliaan baginda sallallahu ‘alayhi wasallam. Antara yang perlu kita ambil pengajaran dan motivasi untuk kita, sewaktu saat-saat kewafatan baginda. Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam tatkala didatangi dan dikhabarkan oleh malaikat jibril perihal semua malaikat yang ada menunggu dan menyambut roh baginda, baginda tidak menampakkan muka yang gembira tetapi sebaliknya baginda sangat resah. Kerana apa, kerana memikirkan umatnya. Selagi mana umatnya tidak selamat, selagi itulah baginda tidak akan lega. Maka, tatkala malaikat jibril datang kepada rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam kali kedua dengan membawa berita gembira akan umatnya, barulah baginda lega dan gembira. Sungguh kasih ya rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam kepada kita selaku umatnya, seluruh kehidupannya didambarkan untuk umatnya, untuk kesejahteraan umatnya. Sepatutnya lontaran cinta yang tersangat-sangat ekstrimlah yang harus kita dambarkan kepada baginda. Sungguh sombong seseorang yang tidak mahu mencintai baginda. Jangan kita termasuk dalam golongan sombong ini.
Makalah ini hanyalah nukilan ringkas yang dapat saya utarakan, sebagai menyahut seruan cintailah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Saya bukanlah orang yang pakar untuk menukilkan perihal rasulullah, tetapi nukilan ini hanya untuk memberi sedikit kesedaran kepada kita untuk mencintai baginda. Ayuh kita sambut maulidurrasul yang akan datang, dengan penuh rasa cinta kepada baginda sallallahu ‘alayhi wasallam. Jadikanlah bulan rabiulawal ini sebagai bulan madu anda dengan rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam! 

No comments:

Post a Comment