Dengan nama Allah Subhanahu wa ta’ala yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah, Tuhan seluruh alam. Maha Suci Allah, Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Juga kepada ahli keluarga baginda yang mulia, serta kepada para sahabat baginda yang terpuji.
Dalam kesempatan maulidurrasul yang akan datang, marilah kita bersama-sama untuk muhasabah diri sejauh mana kita mengenali manusia yang paling agung di alam semesta ini iaitu Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Sekiranya kita tidak mengenali Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, maka manakan mungkin kita akan mencintai Baginda. Sedangkan mencintai Baginda adalah suruhan Allah swt. Bagi sesiapa yang melihat Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam sebagai seorang manusia biasa, sesungguhnya mereka hanya menggunakan kacamata materialnya sahaja. Mereka memandang kekasih Allah itu hanya daripada segi biologinya, sedangkan menilai manusia dari segi biologinya adalah logik orang-orang kafir terdahulu, bukan cara pandang orang-orang beriman. Orang-orang beriman lebih fokus pada sisi rohaninya berbanding jasmani.
Nukilan ringkas ini bukanlah bertujuan untuk menghuraikan keseluruhan hakikat kemulian Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam kerana hal tersebut bukan kepakaran saya, disamping Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam terlalu banyak kemuliaan. Nukilan ringkas ini hanyalah untuk menekankan tentang hakikat keagungan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.
Al-Quran telah menceritakan kepada kita kemuliaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam tiada tolok bandingannya sehinggakan Allah swt dan para malaikat berselawat kepada Baginda.“sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat bagi Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah baginya dan ucapkanlah salam kepadanya...”. Diceritakan pula di alam roh, malaikat Jibril pernah bertanya kepada Allah tentang makhluk yang bernama Muhammad. Allah menjawab, “Demi seluruh kemegahan-Ku dan kemulian-Ku, wahai Jibril, baginda adalah manusia pilihanku daripada seluruh makhluk-Ku”. Jibril lalu berkata, “jadikanlah aku sebagai pembantu baginya, ya Rabb”. Melalui Al-Quran, Allah menjelaskan berkenaan diri baginda, “ Dan tidaklah Kami utus engkau (wahai Muhammad) kecuali sebagai rahmat bagi alam semesta”. Ayat Al-Quran di atas hanyalah sebahagian kecil sahaja dalil yang memberitahu kita betapa mulia Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Masih terlalu banyak lagi dalil yang menunjukkan kemuliaan Baginda.
Maka itu, maulidurrasul yang akan datang perlu kita sambut dengan penuh rasa kecintaan kepada Baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Tidak wajar sekiranya kita sentiasa melakukan ibadah tanpa disandarkan atas kecintaan kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam kerana segala ibadah yang kita lakukan adalah hasil daripada ajaran Baginda. Sebab itu syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al- Maliki pernah menasihati kami ketika majlis Kuching berselawat, jika sesiapa sahaja yang mengerjakan haji jangan lupa untuk menziarahi Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam di Madinah kerana seandainya baginda tidak mengajarkan kepada kita bagaimana untuk mengerjakan haji, manakan mungkin kita dapat melaksanakan rukun islam yang kelima tersebut. Menjadi satu kebiadapan dalam tradisi keilmuan islam sekiranya kita tidak berterima kasih kepada guru yang mengajar kita. Sesungguhnya guru kita dalam segala ibadah adalah Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Sebab itu Imam syafie pernah bermadah; “jika tidak kerana Murabbiku, maka aku tidak akan mengenali Tuhanku”. Murabbi yang dimaksudkan oleh Imam Syafie adalah Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Nah! Lihat ungkapan Imam syafie yang menggambarkan bahawa sesungguhnya tanpa adanya Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, kita tidak akan dapat kenikmatan Iman dan taqwa. Sebab itu perlu kita melahirkan rasa kecintaan yang mendalam dan secara ekstrim terhadap Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam.
Mencontohi baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam merupakan perkara utama dalam kita menjalankan kehidupan seharian. Dalam Al-Quran Allah swt telah memuji akhlak baginda Rasululluh sallallahu ‘alayhi wasallam adalah akhlak yang agung. Ekoran itu, segenap aspek kehidupan kita perlu mencontohi Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam. Hakikatnya masyarakat sekarang lebih mengenali siapa artis berbanding mengenali Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Inilah menifestasi kebiadapan masyarakat yang telah mengakibatkan kerosakan dalaman umat islam. Lihat sahaja dunia zaman sekarang, terlalu banyak kemaksiatan telah berlaku. Banyak kerosakan yang mengakibatkan banyak jiwa-jiwa tersiksa. Ini disebabkan oleh terdapat manusia yang tidak menjadikan Rasululluh saw sebagai contoh dalam kehidupan. Dan sebaliknya, dunia akan aman jika semua manusia mencontohi Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam seperti yang pernah berlaku pada zaman khulafa Arasyidin ketika pemerintahan saidina Umar. Saidina Umar telah dilantik menjadi hakim, tetapi beliau meletak jawatan kerana ketika itu tiada satu pun kes yang dilaporkan. Ini disebabkan semua masyarakat ketika itu mencontohi Baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam!
Dari sudut yang lain pula, kita selalu diceritakan dan dikhabarkan oleh guru-guru dan ulama berkenaan perihal kecintaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam kepada umat. Terlalu banyak pertolongan yang telah Baginda curahkan kepada umatnya adalah untuk kesenangan mereka. Saat kewafatan baginda telah mencerminkan kepada kita, sesungguhnya Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sangat menyayangi umatnya iaitu kita. Baginda masih memikirkan keadaan umatnya dan memohon kepada Allah supaya kesakitan kematian semua umat Baginda disandarkan kepada Baginda tatkala saat kewafatan. Lihat! Begitu sayangnya dan cintanya baginda kepada umatnya. Tetapi haruskah kita sebagai umatnya pula tidak mengendahkan, mengenali, mencontohi dan mencintai Baginda sedangkan kita belum dilahirkan ke bumi ini pun Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah mendoakan kebaikan untuk kita di dunia dan di akhirat kelak. Baginda sentiasa mendoakan untuk umatnya supaya mereka dalam keadaan yang baik. Hal ini terdapat dalam sebuah kitab yang mahsyur; kitab syamail Muhammadiyah karangan Imam Tirmizi iaitu perihal Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam berdoa untuk umatnya ketika berlakunya gerhana matahari pada suatu malam. Baginda mendirikan solat gerhana. Baginda berdiri lama dalam solatnya sehingga hampir tidak rukuk. Baginda rukuk begitu lama sehingga hampir tidak i’tidal. Baginda beri’tidal begitu lama sehingga hampir tidak sujud. Kemudian beliau sujud, sujudnya lama sehingga hampir tidak bangun. Apabila baginda bangun, baginda membaca doa dengan suara yang tersekat-sekat kerana menangis, “wahai Tuhanku, bukankah Engkau sudah berjanji tidak akan menyeksa mereka semasa aku masih berada bersama mereka? Wahai Tuhanku, bukankah Engkau sudah berjanji tidak menyeksa mereka yang memohon ampun kepada Mu? Sekarang kami sedang memohon ampun kepada-Mu”. Dalam kitab sohih Bukhari, terdapat satu hadis tentang keadaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam di alam kubur. Setiap amalan umat sebelum di angkat kepada Allah, ianya akan ditayangkan dahulu kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Sekiranya amalan umat tersebut adalah amalan yang baik, maka Baginda akan gembira. Tetapi sebaliknya jika amalan umatnya yang buruk ditayangkan kepada Baginda, Baginda akan berasa sedih dan lantas mendoakan keampunan kepada Allah untuk umat yang melakukan keburukan tersebut. Apakah masih kita tidak mahu mencintai Baginda?
Justeru, marilah kita bersama-sama untuk meningkatkan kecintaan kepada Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Dengan adanya perasaan cinta tersebut, mudah-mudahan kita dapat berjumpa dengan Baginda di akhirat kelak. Dan mudah-mudahan Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam mengenali kita sebagai umatnya kelak.
Allah jua Maha Mengetahui.
oleh: Hamzah bin Masleh
Rujukan:
Al-Quran.
Kitab ‘syamail Muhammadiyah’ karangan Imam Tirmizi
Buku ‘Uswatun Hasanah’ karangan Haddad Alwi.
Artikel:
(iktibar Isra’ dan Mikraj)-karangan Saudara Abdul Muntaqim bin Zulkifli.
(Dia ikutan kami)- saudari Syamsiah Mahli
No comments:
Post a Comment