Dengan nama Allah Subhanahu wa ta’ala yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah, Tuhan seluruh alam. Maha Suci Allah, Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Juga kepada ahli keluarga baginda yang mulia, serta kepada para sahabat baginda yang terpuji.
Dunia sekarang menyaksikan kepada kita betapa banyak kerosakan yang telah dilakukan manusia, yang menyebabkan banyak jiwa-jiwa menderita dan terkorban. Proses pembaratan pula yang giat dijalankan di negara kita semakin meningkat yang menyebabkan ada segelintir masyarakat islam negara kita terjebak dengan ansir-anasir daripada barat. Manusia, jika tidak disaluti dengan adab, akan sentiasa melakukan kerosakan dan kemaksiatan. Sebab itu Prof. Syed Naquib Al-Attas menulis buku ‘lost of adab’ yang mengkisahkan bahawa masyarakat sekarang telah banyak kehilangan adab.
Dalam dunia islam, perlu kita ketahui bahawa satu perkara yang menjadi asas kepada pengukuhan jatidiri seorang muslim sejati adalah ilmu. Sejarah islam itu sendiri telah membuktikan kepada kita , sesungguhnya tamadun-tamadun islam bukanlah diukur melalui terdapatnya bangunan-bangunan yang tinggi dan canggih, tetapi tamadun islam dikenali melalui para ilmuan yang telah banyak mencurahkan idea-idea besar mereka dalam pembangunan manusia. Sebab itu Al Ghazali meenyatakan bahawa, melihat sesebuah tamadun yang moden dan berjaya bukan terletak pada bangunan-bangunan yang tinggi tetapi terletak pada banyaknya karya-karya besar yang dihasilkan. Kalau kita melihat sendiri sejarah, tamadun islam tidak banyak meninggalkan seni bina yang canggih tetapi telah meninggalkan kepada kita karya-karya yang besar dimana sehingga sekarang pun karya-karya tersebut masih digunakan.
Sebagai seorang muslim, perlu untuk kita sentiasa dalam setiap masa berada dalam lapangan keilmuan. Proses menuntut ilmu sememangnya sudah pun dinyatakan kepentingannya dalam Al-Quran sehinggakan ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam berkenaan dengan jalan mencari ilmu iaitu membaca. Malah perkataan yang mempunyai kata teras ilmu merupakan perkataan ketiga terbanyak dalam Al-Quran. Nah! Peri pentingnya ilmu itu sendiri sudah banyak dinyatakan dalam Al-Quran, dinyatakan oleh para ilmuan islam dan para ulama. Tetapi sekarang seolah-olah terdapat segelintir masyarakat kita tidak mementingkan proses menuntut ilmu, yakni mereka lebih berminat dengan hiburan. Hal ini menunjukkan kebiadapan segelintir masyarakat yang lebih sukakan hiburan daripada berada dalam lapangan keilmuan. Hal ini, jika tidak dibendung akan menyebabkan kerosakan yang berterusan dan semakin teruk.
Maka itu, perlu untuk kita berbalik kepada prinsip-prinsip islam yang sebenarnya sangat mementingkan dan berbudaya ilmu. Perlu dingatkan bahawa sikap mementingkan dan berbudaya ilmu perlu ada dalam setiap muslim. Hal ini bagi menjadikan seseorang individu ataupun masyarakat , bukan sahaja boleh mengekalkan dan meningkatkan lagi kejayaan sedia ada, malah boleh memberikan keupayaan memulihkan diri dalam sebarang cabaran dan kerumitan.
Dalam lapangan keilmuan, sekiranya kita meyakini hal yang diterangkan; yakni ilmu sangat utama dan penting dalam islam, maka sebagai susulannya hendaklah kita berusaha memperolehinya. Walaubagaimanapun, sebelum kita bergerak mendapatkannya, perlu untuk kita mengetahui terlebih dahulu dengan betul –betul untuk mengenali makna ilmu agar kita tidak akan tersilap atau terkeliru sehingga menyangka apa yang bukan ilmu sebagai ilmu atau mengambil lawan ilmu sebagai teman pemandu hidup kita. Ringkasnya, perlunya kita tahu tentang tahu, atau berilmu tentang ilmu.
Segala masalah dalaman dan luaran umat islam di dunia ini sebenarnya mempunyai kaitan yang kuat dengan budaya ilmu yang keliru. Sekarang, ramai ahli-ahli politik, ahli akademik dan golongan-golongan yang dikatakan berpendidikan tinggi, melakukan perkara-perkara yang sepatutnya tidak dilakukan seperti rasuah dan sebagainya. Golongan-golongan sepert ini sepatutnya menjadi contoh yang terbaik untuk masyarakat tetapi sebaliknya. Hal ini sebenarnya berpunca daripada satu iaitu budaya ilmu yang tidak sihat. Walaupun golongan-golongan ini berpendidikan tinggi, tetapi apa yang dipelajarinya jatuh hanya kepada maklumat tetapi tidak jatuh kepada ilmu kerana ilmu sebenarnya memberi makna kepada penuntutnya. Ringkasnya, semua lapisan masyarakat jika tidak mempunyai sikap budaya ilmu yang jitu dan bersepadu hanya akan menghasilkan masyarakat yang‘separuh masak’. Justeru, perlu untuk kita membudayakan ilmu secara bersepadu dan jitu.
Allah Jua Maha Mengetahui!
Rujukan:
Al-Quran
Buku ‘Budaya Ilmu Satu Penjelasan’ karangan Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud.
Buku ‘Isu-Isu Dalam Pemikiran Islam’ karangan Dr. Mohd. Farid Shahran.
Artikel:
( Hakikat dan Sifat Ilmu) beberapa catatan utama – Dr. Mohd Zaidi b. Ismail.
No comments:
Post a Comment