Pages

Friday, 17 May 2013

Mengisi Makna Pendidikan


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Dengan nama Allah, Tuhan Pentadbir tujuh petala langit, Pentadbir tujuh petala bumi dan Tuhan Pentadbir ‘Arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, Nabi Muhammad, pembuka bagi sesuatu yang terkunci, penyudah segala nabi yang terdahulu, pembela kebenaran dengan kebenaran dan petunjuk ke jalan-Mu yang lurus. Limpahkanlah juga rahmat ke atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya dengan kurniaan yang layak dengan kadar dan darjatnya yang agung.

Setiap tahun, kita akan meraikan satu perayaan yang cukup penting iaitu hari guru yang disambut pada 16 Mei . Pelbagai kemeriahan berlaku terutamanya di sekolah-sekolah dan tidak kurangnya juga di IPT. Tahniah buat guru-guru yang selama ini telah bertungkus-lumus dalam merealisasikan hasrat pendidikan. Tahun ini, dengan tema guru ‘1 aspirasi, 1 agenda’ perlu kita renungi dengan makna sejauh mana pendidikan kita pada hari ini betul-betul telah memainkan peranannya dengan sewajarnya iaitu mendidik.

Tersentak jiwa apabila terbaca sebuah ungkapan daripada Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki dalam muqadimahnya melalui buku ‘Adab dan Doa Penuntut ilmu’; “pada hari ini kita melihat pembangunan ilmu umat islam semakin pesat membangun. Institusi-institusi pengajian tinggi, sekolah-sekolah dan madrasah-madrasah tumbuh bagaikan cendawan. Namun, satu hal yang tidak dapat kita nafikan, di sebalik pembangunan itu kita mengalami kemelesatan dan kemunduran akhlak dan spiritual umat islam”. Lihat saja pada hari ini, kes-kes jenayah semakin meningkat tanpa adanya pengurangan yang optimum. Hakikatnya kita hidup dalam keadaan yang penuh dengan ketakutan dan tidak selamat. Mengapa ini berlaku? Apakah sekolah-sekolah dan IPT tidak melahirkan manusia yang mempunyai sifat manusiawinya tetapi lebih kepada sifat kebinatangan?

Rumusannya adalah, pendidikan pada hari ini tidak bersifat dan bermatlamat untuk memanusiakan manusia! Kini, IPT dan sekolah lebih banyak membodohkan manusia daripada menambah kebijaksaan insan.

Pada hari ini, makna pendidikan itu telah disalah ertikan. Apa yang lebih sesuai dikatakan tentang pendidikan hari ini adalah lebih layak disebut sebagai  pengajaran semata-mata dan bukannya pendidikan. Tegasnya disini, pendidikan tidak sama dengan pengajaran kerana pengajaran hanyalah berbentuk proses penyampaian maklumat, pemindahan ilmu, penyampaian pengetahuan serta perkongsian pengalaman; semata-mata. Pendidikan mempunyai proses yang sama, tetapi pendidikan membawa pengertian dan makna yang lebih mendasar dan penting.

Penting juga perlu difahami adalah matlamat akhir pendidikan iaitu memanusiakan manusia atau dalam makna yang lebih jelas adalah menitipkan adab ke dalam diri insan. Kegagalan dalam memahami matlamat pendidikan inilah yang menyebabkan kesalahan dalam merencanakan matlamat tersebut. Pada hari ini, matlamat pendidikan seolah-olah hanya ingin melahirkan manusia robot yang akhirnya dapat membangunkan ekonomi Negara semata-mata bukannya mendidik jiwa manusia tersebut. Mahasiswa-mahasiswa di IPT dihasilkan hanya untuk menjadi pekerja yang baik dan boleh menyumbang ke arah ekonomi. Tidaklah bermaksud disini bahawa perkara tersebut tidak penting, tetapi itu bukanlah matlamat yang lebih utama. Berapa ramai pada hari ini, mereka yang menduduki jawatan tinggi melakukan pelbagai jenis kesalahan yang besar seperti rasuah dan sebagainya. Jumlah jenayah semakin meningkat saban hari yang semakin merisaukan. Adakah kita ingin mengatakan bahawa pendidikan kita sudah berjaya memanusiakan manusia iaitu untuk tunduk patuh kepada Allah swt?

Dalam konteks Negara kita pada hari ini, penekanan terhadap pembangunan ekonomi tersangatlah tinggi. Ekoran itu, para pelajar kita pada hari ini di ajar ilmu dan pengetahuan yang hanya untuk kepentingan ekonomi dan untuk menjadi warganegara yang baik. Pendidikan pada hari ini diolah untuk melahirkan manusia robot, tidak mempunyai kemahiran berfikir , tidak mempunyai pembangunan diri, hanya menurut arahan dan terhakis segala nilai-nilai manusiawi seperti amanah, jujur, ikhlas, sabar dan sebagainya.

Dalam matlamat sebenar pendidikan, perlu difahami juga akan hakikat kita diciptakan di dunia ini. Tidak mungkin Allah menghidupkan sesuatu tanpa ada tujuannya. Maka, peranan kita sebagai seorang insan di dunia ini tidak lain adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah, menjadi khalifah; memakmurkan dan mentadbir kehidupan di dunia ini mengikut segala aturan dan undang-undang Allah swt. Justeru, matlamat pendidikan yang sebenarnya adalah memanusiakan manusia yakni menjadikan manusia sedar akan peranannya dan tujuannya diciptakan serta kembali kepada fitrah kejadiannya iaitu tunduk dan patuh kepada Allah swt.

Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri, adakah kita sebagai insan telah benar-benar melakukan peranan kita yang sewajarnya. Adakah pendidikan (lebih layak dikatakan pengajaran dalam konteks masa ini) yang kita alami sekarang mampu menjadikan kita sedarkan akan tujuan kita diciptakan. Sewajarnya kita perlu tahu dengan tepat dan teliti tentang pendidikan yang sebenar. Nasihat buat teman-teman seperjuangan, boleh rujuk beberapa buah buku yang sangat penting tentang penjelasan pendidikan ini antaranya ‘Risalah Untuk Kaum Muslimin’ Karangan Prof. Syed Naquib Al-Attas, ‘Falsafah dan amalan Pendidikan Islam:  Syed Naquib Al-Attas satu huraian konsep asli islamisasi’ karangan Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud.

Sekian saja untuk kali ini. Mudah-mudahan nukilan ini mampu memberikan kesedaran awal tentang persepsi terhadap pendidikan yang sebenarnya. Kesedaran yang awal ini janganlah di sia-siakan dan perlu kepada kefahaman.

Allah jua Maha Mengetahui.

Rujukan:
Prof. Syed Naquib Al-Attas : ‘Risalah untuk kaum muslimin’s.
Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud : ‘Falsafah dan amalan pendidikan islam: Syed Naquib Al-Attas satu huraian konsep asli islamisasi’.
Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki : ‘Adab dan doa penuntut ilmu’.
Abdul Muntaqim : Artikel –‘IPT: Institusi pembodohan tertinggi.’

No comments:

Post a Comment