Dengan nama Allah
Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Dengan nama Allah, Tuhan Pentadbir tujuh
petala langit, Pentadbir tujuh petala bumi dan Tuhan Pentadbir ‘Arasy yang
agung. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, Nabi Muhammad, pembuka bagi
sesuatu yang terkunci, penyudah segala nabi yang terdahulu, pembela kebenaran
dengan kebenaran dan petunjuk ke jalan-Mu yang lurus. Limpahkanlah juga rahmat
ke atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya dengan kurniaan yang layak dengan
kadar dan darjatnya yang agung.
Muqadimah.
Dalam mengintai kedudukan masyarakat
islam sekarang dengan tamadun islam yang lalu memperlihatkan bahawa masyarakat
islam sekarang sudah jauh dari kefahaman agama yang sebenarnya. Umat islam
sekarang sememangnya mengalami penyakit yang begitu serius dan kritikal yang
memerlukan pencerahan semula agama islam tersebut. Bagi yang jahil, mereka akan
melihat agama islamlah yang sebenarnya menyebabkan kerosakan atau islamlah yang
telah hilang sinarnya. Akhirnya mereka menolak nilai-nilai agama islam dan
mengikut nilai yang direncanakan oleh akal semata-mata. Hal ini sudahpun sebati
dalam pemikiran orang-orang barat. Faham ini mempunyai tanggapan yang amat
simplistiK kerana, hakikat yang sebenarnya hilang sinar tersebut adalah kaum
muslimin bukannya islam tersebut. seperti yang telah dihuraikan oleh para
ulama, islam itu sememangnya sentiasa menyinarkan sinarnya kerana agama islam
adalah wahyu daripada Allah. Kaum musliminlah yang sebenarnya telah jauh dari
sinar tersebut. Apa yang cuba penulis huraikan di sini adalah untuk mengajak
pembaca merenung kembali sejauh manakah kita sudah mempunyai kefahaman islam
yang sebenarnya dan mengapa kaum muslimin itu sudah hilang sinarnya. Satu
perkara yang amat penting yang telah hilang dalam masyarakat islam sekarang
adalah semangat budaya ilmu. Semangat inilah yang seterusnya menyebabkan kaum
muslimin itu jauh dari kefahaman islam yang sebenarnya. Mengapa penulis
mengatakan sedemikian? Hal ini kerana dengan jalan ilmulah yang akan memberikan
kefahaman yang sebenarnya tentang islam. Seperti yang telah dihuraikan oleh
Prof. Syed Naquib Al-Attas, ilmu sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam
menjalani kehidupan dan mendapat kefahaman berkenaan islam yang sebenarnya.
Sebab itu, beliau memberikan kenyataan bahawa dalam konsep keadilan, prasyarat
utama dalam menilai keadilan tidak lain hanyalah melalui prasyarat ilmu.
Budaya Ilmu dalam peta pandangan Alam Islam.
Cuba kita melihat dan menganalisis
persekitaran kita. Pasti kita akan melihat banyak masalah-masalah dan krisis
yang melanda kaum muslimin. Antara masalah yang berlaku adalah berkisar tentang
ekonomi, politik dan sosial. Walaubagaimanapun, masalah yang disebutkan
bukanlah punca utama atau akar yang menyebabkan banyaknya kerosakan berlaku. Masalah
yang disebutkan merupakan asbab daripada budaya ilmu yang telah hilang dalam
institusi peribadi mahupun organisasi. Budaya ilmu yang keliru dan malaplah
yang sebenarnya menyebabkan kepada masalah cabang ini.
Penulis ingin mengemukakan beberapa
contoh ilmuan islam yang mempunyai semangat budaya ilmu yang cukup tinggi.
Terdapat seorang ilmuan islam yang bernama Al-Jahiz yang merupakan seorang
koptik arab [orang arab kulit hitam]. Dalam kajian mendapati bahawa beliau
telahpun menghasilkan kira-kira 400 ratus tajuk buku dan kita kena ingat
bahawa, satu tajuk tersebut boleh saja mempunyai 8-10 buah buku yang dipanggil
jilid. Beliau menulis dalam pelbagai bidang antaranya akidah, sains, matematik
dan beliau pernah menulis sebuah kitab yang bertajuk kitabul hayawan [kitab
tentang binatang]. Kitab ini bukanlah kitab yang sembarangan sehinggakan menjadi
rujukan utama di universiti-universiti di barat dalam bidang zoology. Tetapi
apa yang penulis lebih tekankan adalah bagaimana kehidupan Al-Jahiz ini yang
mempamerkan semangat budaya ilmu yang cukup tinggi. Pernah suatu ketika dalam
sebuah kitabnya, Al-Jahiz menceritakan tentang beliau pernah diejek oleh
rakan-rakannya. Mereka bertanya kepada Al-Jahiz adakah beliau ingin melihat
bagaimana rupa paras syaitan. Maka rakan-rakan beliau mengatakan jika ingin
melihat muka syaitan, maka hendaklah Al-Jahiz pergi ke cermin dan melihat rupa
paras syaitan tersebut. Begitu sekali penghinaan yang telah diberikan kepada
Al-Jahiz tetapi beliau tidak pernah berputus asa kerana beliau tahu yang
meninggikan martabat seseorang di sisi Allah bukanlah rupa paras yang kacak dan
cantik tetapi tidak lain adalah ilmu. Justeru, dengan kefahaman tersebut beliau
sangat bersungguh-sungguh dalam mencari ilmu dengan strategi pergi ke kedai
buku dan membaca semua buku di kedai tersebut. Akhirnya dengan kesungguhan
tersebut, beliau diangkat menjadi seorang ilmuan yang sangat disegani.
Apa yang menyedihkan, semangat ini
semakin pudar dalam kehidupan seharian terutamanya di institusi pengajian
tinggi. Ramai mahasiswa sekarang pergi ke universitI bukanlah ingin mencari
ilmu, tetapi lebih kepada mendapatkan segulung ijazah yang akhirnya dengan
adanya ijazah tersebut , mereka akan memperoleh pekerjaan. Keseriusan dalam
menuntut ilmu itu sudahpun hilang. Hal ini terbukti melalui ramainya pelajar
ambil mudah akan ilmu dan kebanyakkan mereka lebih bersifat anti-ilmu. Melalui pengalaman
penulis, apabila terdapatnya majlis ilmu, ramai yang tidak mahu datang dan
apabila program-program yang bersifat hedonism [hiburan yang melampau], ramai
pula yang hadir.
Satu perkara yang menyedihkan bagi
penulis, ramai pelajar tidak meletakkan dan mempunyai adab dalam menuntut ilmu.
Adab, seperti yang dihuraikan oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas bahawa adab itu
ialah ‘meletakkan sesuatu di kedudukan atau tempat yang layak baginya’.
Faham ini sebenarnya masalah pokok umat islam yang akhirnya mereka tidak
meletakkan sesuatu perkara di tempat yang selayaknya bagi sesuatu itu.
Masyarakat islam pada hari ini kebanyakkannya tidak meletakkan ilmu itu di
kedudukan yang tertinggi. Ramai yang menjadikan ilmu tersebut sebagai alat
semata-mata tanpa menjadikannya sebagai matlamat kehidupan. Hal ini telahpun
dijelaskan oleh Imam Al-Ghazali- ilmu itu hendaklah dijadikan matlamat yang
utama dan bukannya dijadikan alat semata-mata. Natijahnya, jika kita menjadikan
ilmu itu hanya sebagai alat untuk mencari pekerjaan, mendapatkan kemewahan,
mendapatkan gaji yang lumayan, mendapat kesenangan hidup dan sebagainya yang
sealiran, maka ianya akan menimbulkan lagi penyakit-penyakit yang lain yang
lebih teruk. Antaranya, penyakit yang boleh timbul adalah penyakit cintakan
dunia. Penulis pernah melalui pengalaman ini, ketika penulis masih dibangku
sekolah, penulis selalu dimomokkan tentang pergi sekolah hendaklah belajar
rajin-rajin, tujuan belajar rajin-rajin supaya dapat straight A, dan tujuan
mendapatkan straight A supaya dapat masuk universiti, dan tujuan masuk universiti
supaya dapat ijazah, dan tujuan mendapatkan ijazah supaya dapat pekerjaan yang
baik yang seterusnya menjadikan kehidupan selesa dan senang. Perkara ini
sememangnya selalu dimomokkan oleh masyarakat, tetapi kita tidak pernah diajar
[maksud penulis, masih tidak mempunyai kefahaman yang sebenar] tentang tujuan
pergi belajar tidak lain adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.
Pandangan tentang ilmu inilah akhirnya menyebabkan ramai pelajar sekarang lebih
bersifat cerdik dalam exam tetapi sebenarnya lemah dalam ilmu. Apabila pelajar
ini tidak memahami hakikat ilmu tersebut, maka ramai pelajar sekarang bersikap
biadap atau kurang ajar. Fenomena ini bukan sahaja berlaku di peringkat sekolah
tetapi banyak juga menular di peringkat pengajian tinggi. Ramai yang hilang
adabnya terhadap pensyarah mereka. Akibatnya, Allah tidak memberikan ilmu
tersebut masuk ke dalam hati kita sebagai cahaya. Seperti yang telah
diterangkan, ilmu itu merupakan matlamat yang tertinggi, maka segala perilaku
dan keadaan hati kita hendaklah bersifat suci dalam berhadapan dengan ilmu,
kerana ilmu sifatnya rohani. Apabila sifatnya rohani, maka ianya datang
daripada Allah. Manakan mungkin kita hendak berhadapan dengan Allah dalam
keadaan kita tidak beradab.
Seterusnya, saya akan membicarakan
pengertian yang sebenar tentang ilmu. Dalam pentakrifan tentang ilmu ini,
selayaknya kita hendaklah mengambil takrifan daripada para ulama yang lebih
memahami islam itu secara keseluruhan. Saya ingin mengemukakan satu takrifan
yang ditakrifkan oleh Fakhruddin al-Razi (1209m), Saifuddin al-Amidi (1233 m)
dan dikemaskini oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas:
‘merujuk kepada Allah sebagai asal
segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna sesuatu kepada diri seseorang, dan
ketibaan seseorang kepada makna sesuatu’
Takrifan ini mengemukakan beberapa
perkara penting:
1. Allah swt sebagai sumber sebenar
ilmu.
2. .Ilmu itu merupakan makna yang
dicampakkan Allah ke dalam hati.
3. Manusia merupakan insan yang aktif
dalam usaha mendapatkan ilmu.
Takrif di atas dengan sendirinya
bermakna, ilmu itu tidak sama dengan maklumat, fakta, kemahiran, walaupun
tentunya ilmu meliputi maklumat dan kemahiran. Ilmu itu haruslah berdasarkan
maklumat yang benar yang memberikan makna kepada pemiliknya yakni insan.
Suasana pada hari ini yakni disifatkan sebagai ‘ledakan ilmu’ sebenarnya
lebih tepat kita sifatkan sebagai ledakan maklumat. Pembaca boleh
merujuk buku Budaya Ilmu:satu penjelasan dan Risalah Untuk kaum muslimin untuk
keterangan yang lebih lanjut dalam faham ilmu ini.
[Ruangan ini pula saya akan mengenengahkan apa yang dikatakan suasana
budaya ilmu tersebut. berikut merupakan beberapa catatan guru saya tentang
perkara ini: Akhie Naim's blog]
Ciri pertama masyarakat berbudaya ilmu adalah
meletakkan ilmu dan ilmuan di kedudukan yang tertinggi. Hal ini, secara nyata,
masih belum berlaku di dalam masyarakat kita. Buktinya, banyak
keputusan-keputusan yang dibuat di dalam masyarakat tidak mengambil kira secara
serius pandangan daripada para ilmuan. Di dalam sistem pendidikan kita, yang
dijadikan penekanan kepada para pelajar adalah keputusan ujian yang diperolehi,
bukannya kefahaman terhadap ilmu yang seharusnya dipelajari. (Mungkin perlu
ditekankan: sistem peperiksaan yang ada sekarang TIDAK sepenuhnya menguji
kefahaman terhadap ilmu.) Di dalam negara kita, aspek ekonomi serta pembangunan
infrastruktur (jika ada pun pembangunan manusia, itu juga adalah untuk menjurus
ke arah pembangunan ekonomi dan infrastruktur) diberikan keutamaan yang begitu
tinggi sedangkan aspek pendidikan seolah-olah dipinggirkan. Masyarakat kita
lebih mengenali artis daripada ilmuan, sedangkan rendahnya darjat seorang artis
jika hendak dibandingkan dengan seorang ilmuan adalah ibarat langit dan bumi.
Di dalam masyarakat kita juga, apabila ada majlis-majlis dan aktiviti yang
dianjurkan oleh sesiapa pun, bayaran kepada seorang artis untuk membuat
persembahan selama satu jam adalah berpuluh kali ganda lebih tinggi daripada
bayaran kepada seorang ilmuan untuk berceramah selama satu jam. Itu nilaian
masyarakat kita terhadap ilmu dan ilmuan – menandakan masyarakat kita masih
tidak berbudaya ilmu!
Masyarakat berbudaya ilmu adalah masyarakat
yang sentiasa melibatkan diri mereka di dalam aktiviti keilmuan. Lihatlah
sekeliling kita, adakah perkara ini berlaku? Pelajar yang masuk ke universiti
tidak sabar-sabar hendak keluar dan bergraduat. Pesan ibu ayah, pakcik makcik:
“cepat-cepat habis belajar”. Persoalan: kenapa perlu cepat-cepat? Seolah-olah
universiti itu satu ‘penjara’ yang tidak wajar diduduki lama-lama. Sedangkan
jika benar berbudaya ilmu, maka ambillah masa yang diperlukan walaupun lama
untuk benar-benar menguasai bidang itu! (Ini mungkin lebih menjurus kepada
permasalahan sistem.) Dan, apakah proses belajar itu ada ‘habisnya’? Proses
belajar itu tidak akan pernah habis, walau sampai ke tua. Kerana ilmu Allah itu
Maha Luas.
Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang
lebih kurang maksudnya: “Katakanlah: sekiranya lautan menjadi tinta untuk
(menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis
(ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak
itu (pula).” (Surah al-Kahfi, ayat 109)
Di dalam masyarakat kita fenomena merasakan
diri sudah ‘habis belajar’ itu menular. Pengalaman saya sendiri yang sungguh
menyedihkan, apabila kami menganjurkan program seminar bersiri yang ilmiah
berkaitan pembentukan pandangan alam Islam, ada di kalangan generasi tua yang
mengatakan bahawa dirinya sudah ‘tidak perlu’ menghadiri program-program
seperti itu. Ini sikap anti-budaya ilmu.
Masyarakat yang berbudaya ilmu juga
mempunyai sikap pembacaan yang meluas. Walaubagaimanapun, sikap tersebut
menjurus kepada pembacaan bahan bacaan yang bermutu. Buku-buku yang merosakkan
akhlak [ secara zahir dan secara abstrak] dan pemikiran generasi muda hendaklah
ditolak sebulat-bulatnya. Kebanyakkan pelajar hari ini, agak ‘alergik’ apabila
membaca bahan bacaan yang bersifat ilmiah dan bermutu. Bagi mereka, membaca
bahan bacaan seperti ini adalah satu kebosanan. Inilah sikap anti-ilmu yang
semakin menular secara halus dalam benak pemikiran masyarakat islam sekarang.
Masyarakat yang berbudaya ilmu juga seharusnya menjinak-jinakkan diri dengan
karya/buku/kitab ilmuwan dan ulama islam. Bekas Canselor Universiti Chicago,
Robert M Hutchins, dalam mukadimah The Great Books of Western World berkata:
“Seseorang itu tidak dikatakan terpelajar melainkan mesra dengan karya agung
tradisinya.” Dalam hal pembacaan ini juga, seharusnya kita juga dibimbing oleh
para ilmuwan dan ulama yang benar. Saya juga melalui bimbingan ini dalam
pembacaan. Guru-guru sayalah yang akan mengesyorkan kepada saya buku-buku yang
bersifat berkualiti.
Masyarakat
yang berbudaya ilmu juga akan sentiasa menjadikan setiap saat kehidupannya
untuk mencari ilmu tidak kira apa jua keadaannya. Mereka sentiasa membuat
perkongsian [perkongsian yang benar yang
merujuk kepada makna dan faham yang sebenar ] dan membuat perbincangan
tentang ilmu. Sekali lagi penulis mengambil pengalaman sendiri, di mana penulis
dan sahabat-sahabat di Biro Pendidikan Majlis Islam Sarawak selalu mengadakan
diskusi ilmu tidak kira di mana sahaja. Kadang-kadang kami akan lepak di
restoran dan di situlah kami akan berdiskusi dan pernah juga sampai azan subuh
berkumandang. Begitulah indahnya apabila kita mempunyai sikap berbudaya ilmu,
kerana kita akan berasa seronok dengan ilmu tersebut walaupun majlis, kuliah,
ceramah, perkongsian, diskusi dan sebagainya tidak diselitkan dengan
unsur-unsur kecindan dan tidak mempunyai unsur-unsur pidato yang lebih menarik.
Orang yang hanya suka kepada majlis, ceramah, perkongsian, diskusi yang ada
kecindan dan tidak suka kepada majlis yang tidak diselitkan dengan kecindan,
ini maksudnya kekeliruan dalam memahami hakikat ilmu tersebut. Hal ini juga
merupakan satu yang merbahaya yang boleh melumpuhkan masyarakat.
Sampai
disini saja perkongsian saya dalam ruangan yang serba kekurangan ini. Banyak
lagi yang sebenarnya tentang faham keilmuan ini yang penulis tidak jelaskan dan
nasihat penulis, baca buku Budaya Ilmu satu penjelasan dan Risalah kaum
muslimin dan hadirkan diri itu secara aktif dalam hal-hal yang bersifat ilmu.
Sila semak diri anda masing-masing adakah kita sudah mempunyai sikap berbudaya
ilmu itu, jika tidak segeralah mengubahnya sedikit demi sedikit. Dalam ruangan
yang lain akan penulis akan ketengahkan tentang ilmu yang sepatutnya utama dan
yang kurang utamanya. Mudah-mudahan nukilan ini akan memberikan kesedaran awal,
tetapi kesedaran tersebut hendaklah diperkukuhkan lagi dengan kefahaman yang
sebenar. Akhir kalam, penulis mohon maaf jika tersalah pengertian dan tersalah
kata.
Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment